
SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong mendesak Lembaga Air Sibu (LAS) mengambil tindakan segera bagi menangani isu gangguan bekalan air yang berulang di kawasan ini.
Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong, berkata kejadian gangguan bekalan air yang berlaku sebanyak tiga kali tahun ini di lokasi sama telah menjejaskan kehidupan harian penduduk, khususnya peniaga dan pengusaha industri perhotelan.
“Kita ingin mengangkat isu penderitaan penduduk Sibu dalam tempoh 30 jam yang lalu.
“Saya rasa ini kali pertama mereka mengalami gangguan bekalan air yang begitu lama.
“Ramai yang bertanya sama ada LAS sepatutnya mempunyai perancangan lebih menyeluruh mengenai bekalan air.
“Sibu terletak di tepi Sungai Rajang yang merupakan sungai terpanjang di Malaysia, jadi sepatutnya bekalan air tidak menjadi masalah.
“Masalah sebenar adalah perancangan.
“Oleh itu, kami mendesak LAS meneliti perkara ini dengan serius dan mengenal pasti punca utama bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya selepas mengetuai Program Mobile Service2U SUPP anjuran SUPP Cawangan Dudong di sini, hari ini.
Menurutnya, antara isu yang turut dibangkitkan oleh penduduk ialah kekurangan perkhidmatan sokongan seperti lori tangki air ketika berlaku gangguan.
“LAS sepatutnya memiliki lori tangki mencukupi atau memastikan kontraktor mereka menyediakannya.
“Kami tidak menyalahkan pihak pengurusan LAS, tetapi mereka perlu berbincang dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi bagi mencari penyelesaian jangka panjang.
“Kami juga merayu agar Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi, turun padang untuk berbincang dengan pihak LAS mengenai punca utama masalah ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Politik Premier Sarawak, William Anut, berkata sistem pam di Bukit Lima mungkin menjadi antara punca utama gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di Sibu.
“Sistem pam di Bukit Lima tidak begitu efisien.
“Biasanya, kawasan barat Sibu tidak mempunyai masalah, tetapi sejak kebelakangan ini tekanan air tidak stabil.
“Saya tidak pasti sama ada sistem ini masih berfungsi dengan baik kerana tekanan air dikatakan tidak cukup kuat untuk sampai ke kawasan tinggi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penduduk di Sibu Jaya, terutama mereka yang tinggal di flat serta tingkat dua ke atas, mengalami tekanan air yang sangat rendah.
“Bekalan air di Lanang dan Assan juga terjejas, selain beberapa kawasan lain seperti Kerto dan bahagian barat Sibu.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk menyediakan tangki air besar sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Oleh Tarani Lanting