
TERUJA, gemuruh antara perasaan lazim yang dialami oleh penumpang, khususnya bagi mereka yang pertama kali menaiki pesawat terbang.
Perasaan teruja lahir kerana berpeluang ‘terapung’ tinggi di atas awan dan dapat menyaksikan panorama bumi yang terbentang dari tingkap kecil pesawat.
Namun perasaan gemuruh sering timbul kerana khuatir kalau kalau pesawat jatuh hasil imaginasi daripada filem atau gayat jika berada di tempat tinggi.
Apa-apa pun emosi yang terbit dalam diri setiap penumpang, keselamatan kekal menjadi perkara utama yang diambil berat sebelum pesawat dibenarkan untuk berlepas.
Hal ini kerana setiap bahagian pesawat diperiksa dengan teliti sebelum berlepas dan sepanjang penerbangan, kru penerbangan yang terlatih sentiasa berada di kabin bagi memantau serta memastikan keselamatan penumpang.
Bagaimanapun, penumpang turut memikul tanggungjawab untuk bertindak pantas ketika kecemasan, selari dengan arahan kru penerbangan yang sentiasa bersedia membantu.
Oleh sebab itu, penumpang perlu memahami tindak balas khusus bagi setiap kecemasan yang mungkin berlaku semasa penerbangan.
Antara kecemasan yang berpotensi terjadi di udara termasuklah penurunan tekanan kabin dengan tiba-tiba, kebakaran sama ada di ruang enjin ataupun di dalam kabin, kegagalan sistem elektrik atau hidraulik, insiden melibatkan perubatan mengejut, gelora udara yang melampau (turbulens), pendaratan kecemasan dan juga ancaman keselamatan seperti cubaan rampasan pesawat.
Meskipun juruterbang dan kru penerbangan bertindak mengikut prosedur masing-masing semasa kecemasan berlaku, kejayaan mengelak tragedi yang lebih dahsyat bergantung kepada ketangkasan penumpang untuk mendengar serta mematuhi arahan dengan kadar segera.
Perkara paling asas bagi setiap penumpang ialah sentiasa memasang tali pinggang keselamatan ketika duduk. Pesawat adakalanya melanggar gelora udara seperti ada ‘lubang’ yang ada di jalan raya.
Kesannya boleh jadi hanya gegaran ringan tetapi ada ketikanya ia menyebabkan hentakan yang kuat hingga dapat menjunamkan pesawat beberapa meter.

Insiden gelora udara ekstrem pada 21 Mei 2024 yang menimpa penerbangan SQ321 Singapore Airlines dalam perjalan dari London ke Singapura menjadi bukti jelas, tali pinggang keselamatan kecil itu mampu membezakan antara kecederaan ringan dan kecederaan parah.
Pesawat ini mengalami gelora udara ekstrem secara tiba-tiba ketika berada pada ketinggian 11,300 meter di ruang udara Myanmar.
Dalam tempoh kurang lima saat, pesawat Boeing 777-300ER itu menjunam sejauh 54 meter menyebabkan penumpang dan kru penerbangan yang tidak memakai tali pinggang keselamatan terpelanting ke siling kabin.
Kejadian ini berlaku ketika sarapan sedang disajikan, sekali gus mengakibatkan kucar-kacir dalam kabin dan kecederaan serius kepada lebih 100 orang termasuk 20 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi.
Seorang lelaki berusia 73 tahun meninggal dunia dan dipercayai akibat serangan jantung.
Pesawat tersebut terpaksa membuat pendaratan cemas di Bangkok bagi memastikan penumpang yang cedera menerima rawatan perubatan dengan segera.
Selain itu, penumpang perlu bertindak segera sekiranya topeng oksigen jatuh berjuntai dari panel atas seperti yang ditunjukkan semasa demonstrasi keselamatan sebelum berlepas.
Penumpang perlu menarik topeng ke bawah dengan memasang kemas pada hidung dan mulut, lalu bernafas seperti biasa sebelum membantu orang lain.
Langkah ini penting kerana tekanan kabin yang jatuh mendadak boleh menyesakkan dada, memeningkan kepala dan boleh menyebabkan pitam.
Situasi sebegini pernah menimpa Helios Airways 522 pada 2005 apabila suis tekanan kabin ditetapkan secara manual yang menyebabkan tekanan hilang dan mengakibatkan penumpang serta kru penerbangan pengsan.
Akhirnya pesawat malang ini terhempas di Greece.
Pada ketinggian jelajah sekitar 11 000 meter, kelembapan kabin rendah dan aliran udara laju boleh menyebabkan percikan kecil cepat merebak.

Insiden kebakaran tandas Air Canada 797 pada 1983 misalnya bermula daripada litar pintas sebelum menyaluti kabin dengan asap hitam pekat.
Kejadian ini meragut 23 nyawa akibat tesedut asap yang banyak, meskipun pesawat sempat mendarat cemas di Lapangan Terbang Cincinnati hanya kira-kira 18 minit selepas asap pertama dikesan.
Dalam keadaan begini, kru penerbangan akan menjerit ‘SMOKE’ dan mengarahkan penumpang tunduk rendah kerana udara paling bersih berkumpul berhampiran lantai.
Penumpang perlu menutup hidung dan mulut dengan kain lembap, bergerak segera ke pintu keluar terdekat dan mematuhi arahan kru penerbangan.
Walaupun dalam keadaan cemas, langkah pantas ini boleh membezakan hidup dan mati dalam detik-detik sebelum api marak sepenuhnya.
Pendaratan kecemasan merupakan antara situasi paling mendebarkan dalam penerbangan. Keadaan ini boleh berlaku jika ada burung tersedut ke dalam enjin, ada tayar pesawat pecah atau sistem brek hidraulik gagal berfungsi.
Sekiranya situasi sebegini berlaku, juruterbang akan mengarahkan penumpang untuk mengambil posisi perlindungan atau brace position. Posisi ini boleh dilaku dengan membongkok ke hadapan dengan kepala mencecah lutut dan tangan melindungi tengkuk.
Insiden Scandinavian Airlines Flight 751 pada 1991 menjadi bukti nyata keberkesanan posisi perlindungan dalam menyelamatkan nyawa selepas kedua-dua enjin gagal akibat serpihan ais yang tersedut semasa berlepas dari Stockholm, pesawat MD-81 terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di kawasan ladang.
Walaupun impak menyebabkan badan pesawat terbelah kepada tiga bahagian, kesemua 129 penumpang dan kru penerbangan terselamat.
Kecemasan perubatan di udara juga boleh berlaku malah ia merupakan situasi kritikal yang sering berlaku secara tiba-tiba, namun berpotensi membawa akibat serius.
Menurut kajian New England Journal of Medicine (2023), statistik menunjukkan satu kes kecemasan perubatan berlaku bagi setiap 600 penerbangan dengan situasi umum seperti pengsan, serangan jantung atau gangguan pernafasan menjadi antara yang paling kerap dilaporkan.
Contohnya, pada 2017 Emirates EK500 terpaksa mendarat cemas di Mumbai setelah seorang penumpang diserang sakit jantung.
Namun tindak balas pantas kru penerbangan menggunakan defibrilator automatik (AED) dalam lima minit pertama berjaya menyelamatkan nyawanya.
Apabila berdepan situasi cemas ini, penumpang berdekatan pesakit berkenaan mesti segera menghubungi kru penerbangan melalui butang panggilan, memaklumkan gejala dengan jelas serta memberikan ruang yang cukup untuk kru penerbangan atau doktor sukarelawan bekerja.
Walaupun cubaan rampasan pesawat jarang berlaku kini, penumpang tetap memikul tanggungjawab untuk melaporkan sebarang tingkah laku mencurigakan sebaik sahaja dikesan kepada kru penerbangan kerana tindakan awal penumpang yang peka boleh menghalang tragedi lebih besar.
Serangan 11 September 2001 menjadi titik perubahan utama keselamatan penerbangan dengan memperkukuhkan pintu kokpit, pemeriksaan di lapangan terbang lebih ketat, program marshal udara diperluas dan peraturan ‘dua orang di kokpit setiap masa’ diwajibkan.
Selain mematuhi arahan kru penerbangan, penumpang juga mengambil tindakan proaktif dengan membaca kad keselamatan sebaik duduk yang diletakkan di poket belakang kerusi di hadapan.
Di samping itu, penumpang juga perlu mengenalpasti pintu kecemasan terdekat agar dapat segera keluar jika proses pemindahan dilakukan.
Oleh itu, memakai kasut yang sesuai seperti kasut bertutup dan bukan bertumit tinggi juga merupakan tindakan yang boleh menyelamatkan diri semasa kecemasan kerana lebih mudah keluar di gelongsor.
Sebagai langkah berjaga-jaga, setiap penumpang digalakkan menyimpan dokumen penting seperti pasport, telefon bimbit dan ubat-ubatan dalam beg kecil yang mudah diakses.
Hal ini membolehkan barang-barang ini dapat segera dicapai terutamanya dalam situasi kecemasan tanpa perlu membuang masa menggeledah bagasi besar.
Tambahan pula, penumpang juga perlu menukar telefon bimbit ke mod pesawat sebaik sahaja pintu pesawat ditutup dan sebelum berlepas.
Langkah ini bukan sekadar mematuhi peraturan tetapi turut membantu mengelakkan sebarang gangguan isyarat radio yang mungkin mengganggu sistem komunikasi kokpit.
Walaupun teknologi moden semakin maju, langkah berjaga-jaga ini tetap penting bagi memastikan komunikasi antara kru penerbangan dan menara kawalan sentiasa jelas tanpa gangguan.
Hakikatnya, perjalanan udara kekal menjadi mod pengangkutan paling selamat berbanding darat atau laut.
Justeru, rasa gemuruh atau takut menaiki pesawat ialah reaksi normal yang boleh ditangani dengan memahami prosedur keselamatan dan mematuhi arahan kru penerbangan.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.