
PERNAHKAH anda dengar sesuatu projek berjalan lancar dan siap ikut jadual? Pernah.
Pernahkah anda dengar projek ‘sakit’? Selalu.
Itu yang kita dengar sejak kebelakangan ini – projek ‘sakit’, disusuli kenyataan bahawa kontraktor penyelamat ambil alih dan kena buat tender semula.
Apa sebenarnya yang berlaku? Bila ‘projek sakit’, rakyat pun ‘sakit’ dan rezeki juga terjejas.
Bayangkan dengan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo, ramai penjaja menjual sayur, buah-buahan termasuk durian bila tiba musimnya di sepanjang laluan terutama berdekatan kawasan penempatan.
Contohnya projek jambatan dan jalan raya berdepan banyak ‘sakit’ tetapi sejak kebelakangan ini, keadaan kelihatan pulih dengan lima jambatan utama berjaya disiapkan setelah mengharungi fasa melalui kontraktor penyelamat.
Bagi projek yang masih ‘sakit’, sesuatu perlu dilakukan oleh kerajaan sama ada peringkat negeri atau persekutuan bagi menyelesaikan masalah projek sakit secara tuntas, kerana ada projek yang sudah bertahun-tahun, tidak juga siap meskipun peruntukan sudah diluluskan.
Pada Disember 2024, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, pernah mendedahkan bahawa masalah kewangan dihadapi kontraktor dikesan antara faktor utama menyebabkan 11 projek Persekutuan dikenal pasti sebagai projek sakit di Sarawak.
Katanya, ada antara projek terbabit gagal disiapkan selepas ia diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Lima daripada 11 projek sakit itu dikenal pasti berpunca kegagalan kontraktor yang menghadapi masalah kewangan.
Berikutan itu katanya, kerajaan mengambil tindakan tegas menamatkan kontrak mereka dan menawarkan tender baharu kepada kontraktor penyelamat untuk menyiapkan projek terbabit.
Di sini timbul persoalan, bagaimana kaedah memilih kontraktor?.
Apakah semata-mata kerana tawaran tender paling rendah, maka kontraktor ini dipilih tanpa menyelidiki rekodnya sebelum ini?
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian sebelum ini pernah menyatakan bahawa isu banyak projek sakit di negeri ini bukan disebabkan kekurangan dana kerajaan Sarawak tetapi lebih disebabkan oleh tender terbuka dan keupayaan kontraktor untuk menyiapkan projek.
SISTEM TENDER PERLU DIUBAH
“Sistem tender berpilih untuk projek masa depan mungkin diguna pakai.
Mungkin pada masa akan datang, bagaimana kita buat tender terbuka, adakah ia berpilih atau apa, daripada orang salah guna sistem tender terbuka atas nama ketelusan,” katanya merujuk kepada beberapa projek sakit di kawasan diwakilinya seperti dilaporkan media sebelum ini.
Dr Sim tidak menjelas lanjut tetapi ia mungkin berkait dengan pemilihan melalui tender terbuka iaitu kontraktor yang menawarkan harga ‘rahmah’ (paling murah) berjaya diambil tetapi keupayaan sebenar tidak diketahui?
Bagaimanapun, ada isu lain lagi yang menyebabkan sesetengah projek terbantut termasuk isu pengambilalihan tanah.
Antaranya isu tuntutan bertindih dan soal pampasan.
Minggu lalu pula, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan agar lima projek bermasalah di Sarawak yang melibatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12 disiapkan sepenuhnya dalam tempoh RMK13 nanti.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara punca kelewatan projek berkenaan termasuk isu tapak seperti permit, pengambilan tanah dan pertindihan jajaran paip, selain mengambil kira faktor cuaca.
“Oleh kerana RMK13 akan dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat yang akan datang, maka sebarang projek bermasalah diputuskan untuk disegerakan dan tempohnya mesti diselesaikan dalam RMK13 iaitu dari Rolling Plan 1 hingga 5.
“Contohnya, bukan projek bermasalah, tetapi projek yang ditangguhkan seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Lawas yang telah mendapat kelulusan tetapi belum dilaksanakan.
“Arahan saya agar dalam Rolling Plan 1 RMK13, projek MRSM ini mesti dilaksanakan,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Khas Pelaksanaan Projek Pembangunan KKDW Sarawak di Kuching.
Sarawak telah menerima peruntukan berjumlah RM3.2 bilion di bawah RMK12 melibatkan pelaksanaan sebanyak 403 program serta projek dengan kos projek keseluruhan berjumlah RM21.73 bilion.
Menurut kenyatan KKDW, daripada jumlah tersebut terdapat 178 projek atau 44.71 peratus dikenal pasti masih berstatus ‘Pra-Pelaksanaaan’, manakala 155 projek telah diluluskan bermula dari 2021 sehingga 2025.
Yang paling menyedihkan ialah projek membabitkan rakyat secara langsung seperti perumahan apabila berlaku kelewatan atau tergendala.
PROJEK PERUMAHAN
Baru-baru ini, Dr Sim berkata sebanyak 49 daripada 663 projek perumahan atau 7.4 peratus daripada keseluruhan projek di Sarawak dikenal pasti sebagai projek sakit, setakat ini.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, daripada jumlah tersebut, sebanyak 15 projek disiapkan, manakala 20 projek lagi dipulihkan dan pembinaannya disambung semula.
‘’Bagaimanapun, 14 projek selebihnya masih berada di pelbagai peringkat campur tangan, mewakili kira-kira dua peratus daripada jumlah keseluruhan,’’ kata Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tambah Dr. Sim, dua projek sakit kini dijangka menerima Sijil Layak Menduduki tidak lama lagi, sekali gus menandakan kemajuan penting dalam usaha penyelesaian projek terbabit.
Perkembangan ini katanya, menunjukkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam melindungi hak pembeli rumah, menyokong mereka yang terkesan akibat kelewatan projek, serta memastikan pemaju mematuhi Ordinan Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2013 dan Peraturan-Peraturan Pembangunan Perumahan 2014.
Bagaimanapun, kerajaan Sarawak bercadang memendekkan tempoh kelewatan projek sakit di Sarawak kepada 30 hari, berbanding 100 hari bagi membolehkan Jabatan Kerja Raya melakukan campur tangan awal.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amat Douglas Uggah Embas berkata, kelewatan kontraktor tidak melaksanakan projek dengan aktif hingga 30 hari jelas memperlihatkan ketidakcekapan mereka.
“Kami mengadakan perbincangan dan merasakan tempoh 100 hari terlalu lama…jadi, kami cuba sedaya upaya untuk melihat bagaimana kita boleh mengurangkan ia kepada 30 hari sahaja,” katanya dalam satu majlis di Spaoh, Betong Mac lalu.
Uggah berkata cadangan memendekkan tempoh projek sakit bukan bermaksud ingin menyusahkan kontraktor, sebaliknya bagi memastikan semua projek yang diluluskan mesti dilaksanakan mengikut jadual bagi mencapai objektif mereka,” katanya.
Beliau berkata, bilangan projek sakit di Sarawak telah berkurangan secara drastik, daripada lebih 100 kepada hanya dua projek setakat ini.
Diharapkan selepas ini, akan berkurangan projek ‘sakit’, manakala pemilihan kontraktor perlu lebih berhati-hati terutama mereka yang tiada rekod cemerlang dan prestasi kewangan yang tidak kukuh.
Senaraikan semua kontraktor yang gagal menyiapkan projek sebelum ini dan juga, senarai kontraktor penyelamat yang berwibawa sebagai rujukan untuk ditawarkan projek pada masa akan datang.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.