SEBANYAK 30 projek lain akan diselamatkan iaitu pembinaan jambatan, bangunan pejabat, pembinaan serta menaik taraf jalan raya, klinik kesihatan, kuarters guru, kompleks sukan dan pembaikan sekolah usang.
DEFINISI ‘projek sakit’ menurut paparan di laman web Perbendaharaan Malaysia adalah sesuatu projek dengan kemajuan fizikal yang mengalami kelewatan melebihi dua bulan atau 20 peratus (mengikut mana yang terdahulu) berbanding jadual ditetapkan dalam kontrak dan kontraktor adalah tidak berupaya untuk memperbaiki prestasinya.
Berikutan itu, Kementerian Kewangan dalam pekeliling sebelum ini mengarahkan satu jawatankuasa iaitu Panel Penyelarasan Kontrak (CCP) ditubuhkan di peringkat kementerian yang berperanan khusus untuk menguruskan isu pentadbiran dan pertikaian kontrak bagi kementerian serta agensi di bawah seliaan masing-masing.
CCP juga diberi kuasa untuk mempertimbangkan pengesyoran Pegawai Penguasa/ Pengarah Projek (PP) mengenai projek sakit dan memutuskan sama ada untuk menamatkan kontrak kontraktor sedia ada atau melaksanakan langkah pemulihan dengan dinyatakan secara jelas tindakan yang perlu diambil oleh PP.
Di peringkat Kementerian Kerja Raya pula, ada Jawatankuasa Saringan Kontraktor Penyiap (JSKP) bagi menangani isu sama.
Isu projek sakit ini juga berpotensi menjadi projek terbengkalai berikutan beberapa masalah terutama kesan pandemik Covid-19 sebelum ini serta gangguan geopolitik dunia.
Baru-baru ini, pengarah sebuah syarikat pembinaan tempatan dipetik oleh media sebagai berkata, harga bahan binaan kini meningkat 50 peratus hingga menjejaskan ramai pemaju dan mengunjurkan bilangan projek sakit terus meningkat pada masa akan datang.
Ini berikutan isu kekurangan tenaga kerja serta kenaikan kos bahan binaan yang berpunca daripada gangguan dalam rantaian bekalan akibat pandemik Covid-19 serta konflik Rusia-Ukraine.
Seorang kontraktor yang enggan namanya didedahkan berkata, harga bahan binaan tertakluk kepada kuasa pasaran, sementara kekurangan tenaga buruh pula perlukan kerajaan mempercepat kemasukan pekerja asing.
Katanya, sebahagian besar pekerja asing yang menjadi nadi dalam sektor pembinaan negara, kembali ke tanah air masing-masing selepas kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang penularan pandemik Covid-19 yang menyaksikan projek pembangunan tidak kritikal diarah henti kerja.
Projek sakit dan masalah kekurangan pekerja asing sebenarnya berlaku di seluruh negara.
Sarawak tidak terkecuali. Malah ada bahagian tertentu Projek Lebuhraya Pan Borneo turut mengalami kelewatan disebabkan kekurangan pekerja selepas pandemik.
Kelmarin, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mendedahkan bahawa 18 kontrak projek sakit bernilai RM563 juta di negeri ini akan ditamatkan serta-merta dalam tempoh terdekat.
“Sebanyak 18 projek tenat ini adalah antara 95 projek bernilai RM10.357 bilion yang disenaraikan sebagai projek lewat kritikal sehingga Jun tahun ini,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Bilik Gerakan Sementara Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sarawak di Wisma Saberkas.
Taklimat dikendalikan jurutera dari JKR itu memberi tumpuan kepada status semasa 236 projek pembangunan bernilai RM28.67 bilion yang sedang dilaksanakan di negeri ini sekarang.
Daripada 95 projek tenat itu, 45 daripadanya membabitkan bangunan, jalan (20) dan jalan pesisir pantai dan Jalan Utama Kedua (10), jambatan dan dermaga (91), infrastruktur pembangunan luar bandar (tujuh) dan pakej Lebuhraya Pan Borneo (empat).
Dalam sesi taklimat itu, Uggah diberitahu bahawa bangunan klinik kesihatan di Long Busang, Kapit dan di Lubok Antu, Sri Aman merangkumi kerja-kerja pembaikan sekolah usang di Samarahan, Kapit dan Sibu sedang giat dilaksanakan.
Sebanyak 30 projek lain akan diselamatkan iaitu pembinaan jambatan, bangunan pejabat, pembinaan serta menaik taraf jalan raya, klinik kesihatan, kuarters guru, kompleks sukan dan pembaikan sekolah usang.
Bagaimanapun, terdapat 47 daripada projek kelewatan kritikal bernilai RM2.3 bilion dijangka siap dalam tahun ini terutama pembaikan sekolah usang, pembinaan dan menaik taraf jalan raya termasuk pembinaan bangunan kerajaan.
Antaranya menurut Uggah ialah jalan masuk ke Empangan Hidro Elektrik Baleh bernilai RM95 juta, Pusat Penyelidikan dan Kemajuan Industri Lada Nasional RM40 juta di Semenggok, menaik taraf Jalan Pakan RM24.56 juta dan asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Maludam RM35.76 juta.
Kesemua projek ini dijangka siap September tahun ini manakala Klinik Kesihatan Serian bernilai RM23.89 juta dijangka siap pada suku pertama tahun depan.
Tindakan JKR untuk mengemaskini dan memberi taklimat projek bermasalah amat dialu-alukan dan rakyat perlu tahu terutama status projek di kawasan mereka. Sekurang-kurangnya mereka tidak tertanya-tanya mengapa sesuatu projek tidak ‘siap-siap’ dibina.
Kita juga tertanya-tanya mengapa projek kerap lewat siap, sedangkan pada peringkat awal sudah dimaklumkan ‘dijangka siap pada sekian tarikh’. Kalau setakat lewat seketika, tidak mengapa tetapi jika terlewat melebihi setahun, ada sesuatu yang tidak kena.
Perlu ada garis panduan ketat atau Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mekanisme terbaharu untuk mengurang atau memastikan sifar projek sakit pada masa akan datang.
Hasrat murni kerajaan untuk mencurahkan projek pembangunan bagi kepentingan rakyat akan terencat selagi masalah ‘projek sakit’ tidak ditangani dengan sebaik mungkin. Rakyat secara semula jadi akan kecewa dan marah apabila projek yang dilaksanakan terbengkalai atau tidak siap.
Berdasarkan statistik iaitu 95 projek bernilai RM10.3 bilion yang disenaraikan sebagai projek lewat kritikal sehingga Jun tahun ini, menunjukkan masalah projek sakit di Sarawak masih pada tahap kritikal, yang perlu ditangani segera oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
JKR mungkin perlu tampil dengan kaedah lebih jitu serta pelan tindakan dalam usaha meminimumkan masalah projek sakit.
Satu lagi aspek ialah pemilihan kontraktor. Kontraktor juga harus bebas daripada aduan prestasi kerja yang lemah atau kurang memuaskan, bebas daripada denda dan ganti rugi dikenakan, bebas daripada muflis.
Lihat semula latar belakang kontraktor sama ada pernah berdepan ditamatkan kontrak sebelum ini kerana gagal menyiapkan projek.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak