Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Tangani isu penderaan di taska, tingkatkan semula keyakinan ibu bapa
  • NASIONAL

Tangani isu penderaan di taska, tingkatkan semula keyakinan ibu bapa

Utusan Sarawak 13 hours ago
TANGANI isu penderaan di taska, tingkatkan semula keyakinan ibu bapa. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Ibu bapa menyerahkan anak kecil mereka kepada pengasuh di taska berteraskan kepercayaan dan keyakinan anak itu akan dijaga dengan penuh kasih sayang dalam persekitaran yang selamat. 

Namun begitu, laporan demi laporan tentang kes penderaan termasuk yang berakhir dengan kematian si kecil, mencetuskan kegusaran ibu bapa akan sejauh mana keselamatan anak mereka di bawah jagaan pengasuh, termasuk di pusat asuhan yang berdaftar dengan pihak berwajib.

Buktinya, kes kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dipercayai menjadi mangsa dera di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang pada awal bulan ini. Susulan kes itu, seorang pengasuh wanita berusia 22 tahun didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh bayi berkenaan.  

Sebelum itu, negara juga digemparkan insiden di sebuah cawangan taska terkenal yang didakwa mengabai dan mendera kanak-kanak, termasuk mengurung seorang kanak-kanak autistik di dalam stor.  

Kejadian yang dipetik bukan kes terpencil, kerana saban tahun ada sahaja kes kanak-kanak dan bayi dilaporkan didera atau ditemukan maut di pusat asuhan, sekali gus menimbulkan persoalan sejauh mana kemampuan pusat-pusat ini dapat menyediakan persekitaran yang selamat, di sebalik penguatkuasaan undang-undang mewajibkan bakal pengasuh lulus Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak PERMATA  sebelum diambil bekerja.

FAKTOR PENDORONG

Mengulas isu itu, pakar psikologi Dr Alizi Alias berkata, kebanyakan kes pengabaian ataupun penderaan yang berlaku di taska, didorong oleh pelbagai faktor antaranya kawalan emosi yang lemah, kurangnya empati terhadap kanak-kanak, tekanan hidup atau masalah peribadi serta salah faham tentang psikologi anak kecil.

Beliau berkata dalam sesetengah keadaan, ada guru atau pengasuh yang melihat tangisan atau tingkah laku kanak-kanak sebagai sesuatu yang mengganggu, sedangkan kelakuan tersebut adalah normal mengikut peringkat usia mereka.

“Pada masa sama, tekanan kerja dan keletihan juga mampu menjadi pencetus tindakan kasar atau penderaan. Apabila seseorang pengasuh berdepan beban kerja yang tinggi, atau terpaksa menjaga terlalu ramai kanak-kanak pada satu-satu masa, tahap kesabaran dan keupayaan mengawal emosi boleh merosot.

“Dalam keadaan emosi yang tidak stabil, individu lebih cenderung bertindak secara impulsif tanpa mempertimbangkan kesan terhadap kanak-kanak tersebut,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, penderaan di taska merujuk sebarang bentuk tindakan oleh pengasuh yang boleh mencederakan kanak-kanak dari segi fizikal, emosi atau seksual, serta kegagalan memenuhi keperluan asas mereka.

Perbuatan itu merupakan pelanggaran terhadap Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara dan boleh memberi kesan serius ke atas keselamatan serta perkembangan kanak-kanak.

Situasi ini termasuk perlakuan kasar, kekurangan pengawasan serta persekitaran yang tidak selamat sehingga boleh mengancam nyawa dan menjejaskan perkembangan fizikal serta emosi si kecil.

Bentuk penderaan yang sering berlaku antaranya ialah penderaan fizikal seperti memukul, menampar, mencubit atau menggoncang kanak-kanak.

Selain itu, penderaan emosi juga boleh berlaku melalui tindakan mengherdik, menakut-nakutkan, memalukan atau mengurung kanak-kanak, yang cenderung menjejaskan kesihatan mental dan keyakinan diri mereka.

Penderaan turut merangkumi sebarang bentuk eksploitasi atau perbuatan seksual terhadap kanak-kanak oleh pengasuh.

Sementara itu, pengabaian pula meliputi sikap tidak bertanggungjawab pihak taska dalam memenuhi keperluan asas kanak-kanak seperti gagal menyediakan makanan yang mencukupi, mengabaikan aspek kebersihan, tidak mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan atau membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang selamat.

Bagaimanapun Ailizi berkata tekanan kerja tidak seharusnya dijadikan alasan untuk “membenarkan” sebarang bentuk pengabaian dan penderaan berlaku di premis tersebut.

Sebaliknya, aspek itu perlu dilihat sebagai faktor risiko yang menuntut pengurusan lebih sistematik melalui latihan, sokongan emosi serta penyediaan persekitaran kerja yang lebih kondusif.

Selain itu katanya terdapat juga ciri-ciri tertentu yang mampu meningkatkan risiko seseorang bertindak agresif, antaranya sifat mudah marah, kurang sabar, tahap empati rendah serta kesukaran mengawal impuls.

“Individu yang tidak mempunyai latihan dalam penjagaan kanak-kanak juga mungkin tidak memahami cara mengendalikan tangisan, tantrum atau tingkah laku mencabar dengan pendekatan yang sihat dan sesuai.

“Dalam sesetengah kes, latar belakang atau pengalaman hidup turut memainkan peranan. Individu yang dibesarkan dalam persekitaran yang keras mungkin cenderung menganggap pendekatan tegas atau kasar sebagai sesuatu yang normal dalam proses mendidik,’’ katanya.

TIDAK BERUPAYA PERTAHANKAN DIR

Hakikatnya, Alizi berkata kanak-kanak kecil berada dalam keadaan yang sangat bergantung pada orang dewasa, kerana mereka belum mempunyai kekuatan fizikal, keupayaan berkomunikasi atau kematangan kognitif untuk mempertahankan diri ataupun menjelaskan apa yang berlaku pada mereka.

Keadaan itu  menjadikan mereka golongan paling terdedah kepada penderaan, khususnya apabila berada di bawah jagaan individu yang tidak amanah atau tidak mempunyai keupayaan mengurus emosi dengan baik.

“Dalam jangka masa pendek, kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan berkemungkinan menunjukkan perubahan tingkah laku seperti menjadi takut, mudah menangis, mengalami gangguan tidur atau menjadi terlalu sensitif terhadap individu dewasa tertentu.

“… dan jika penderaan berterusan, kesannya boleh menjadi lebih teruk termasuk hilang rasa selamat dalam diri  serta tidak berupaya membina hubungan dengan orang lain.”

Menjawab persoalan sama ada pengalaman penderaan pada usia awal boleh memberi kesan kepada individu itu apabila meningkat dewasa, Alizi mengakui perkara tersebut sememangnya boleh berlaku.

Menurut beliau, pengalaman didera pada peringkat usia kanak-kanak akan mempengaruhi perkembangan emosi seseorang dalam jangka panjang, termasuk menjadikan individu itu lebih mudah cemas, sukar mempercayai orang lain dan  memiliki tahap keyakinan diri yang rendah.

“Bagaimanapun, pemulihan tetap boleh dicapai. Kanak-kanak yang mendapat sokongan keluarga, berada dalam persekitaran yang selamat serta menerima bantuan profesional apabila diperlukan, mempunyai peluang untuk pulih dan membesar secara sihat,” katanya.

PEKA PERSEKITARAN TASKA

Sementara itu, aktivis hak kanak-kanakAnisa Ahmad berkata ibu bapa perlu peka terhadap tanda-tanda awal yang menunjukkan seorang kanak-kanak mungkin mengalami penderaan ataupun pengabaian di taska.

Antaranya ialah menjadi sangat takut untuk ke taska, menangis apabila berdepan dengan guru atau pengasuh tertentu, perubahan corak tidur atau pemakanan, kehadiran lebam tanpa sebab yang jelas serta perubahan tingkah laku anak yang mendadak.

“Ada juga kanak-kanak yang menjadi terlalu pendiam, manakala sebahagian yang lain mungkin mudah terkejut atau menunjukkan reaksi berlebihan termasuk meragam atau menangis apabila mereka dihantar ke taska.

“Ini kerana bagi kanak-kanak kecil, komunikasi tidak terhad hanya pada kata-kata. Justeru, ibu bapa hendaklah lebih peka terhadap bahasa tubuh, ekspresi wajah dan perubahan tingkah laku anak itu,’’ katanya.

Bekas presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia (PPBM) ini juga berkata pendekatan seperti bermain bersama-sama, bertanya soalan mudah atau menggunakan lukisan dan permainan, dapat membantu anak meluahkan perasaan serta pengalaman mereka di taska dengan lebih mudah dan selesa.

Menurutnya keselamatan kanak-kanak bukan hanya terletak di bahu pengusaha taska semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama.

Katanya ibu bapa perlu bijak memilih pusat jagaan yang mempunyai standard keselamatan jelas serta sentiasa berkomunikasi dengan pihak pengurusan dan pengasuh.

“Ibu bapa kena cakna, jika nampak ada tanda taska menjaga anak-anak kita kurang baik jangan diteruskan hantar ke sana.

“Kelesaan anak itu yang utama bukan keselesaan kita. Ada ibu bapa hantar anak ke taska ini sebab dekat dengan tempat kerja walhal anak itu tidak selesa, jadi kena utamakan keselesaan anak itu,” katanya.

TEKANAN GAJI RENDAH

Mengulas lanjut, Anisa berkata bahawa tawaran gaji yang rendah serta ketiadaan pengalaman dalam menjaga kanak-kanak khususnya bayi, merupakan antara faktor dominan yang menyumbang kepada berlakunya kes pengabaian dan penderaan di taska.

Beliau berkata, ada pengusaha taska terpaksa mengambil pekerja tanpa latar belakang khusus dalam bidang asuhan atau sijil pendidikan awal kanak-kanak kerana bidang itu kurang mendapat perhatian golongan muda, terutama lepasan diploma dan ijazah pertama.

 Katanya, meskipun terdapat graduan universiti yang memiliki diploma dan ijazah dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), tidak ramai yang memilih untuk menceburi industri kerana menganggap beban tugas sebagai pengasuh agak mencabar selain memerlukan komitmen tinggi.

“Ada pekerja taska yang telahpun diberi latihan dan kursus  bagaimana mengasuh anak-anak, kemudian lari pula untuk bekerja di tempat lain dengan tawaran gaji lebih tinggi… mewujudkan masalah buat pihak taska kerana sukar untuk mencari guru atau pengasuh taska yang boleh sesuaikan diri dengan kanak-kanak.

“Siswazah pula tidak mahu jadi guru taska sebab mengganggap kerjaya itu tidak glamor dan susah kerana berdepan kerenah kanak-kanak selain tawaran gaji yang rendah. Inilah masalah yang industri tengah hadapi apabila kekurangan guru dan pengasuh…jadi untuk elakkan kekurangan tenaga kerja, ada taska yang tangkap muat ambil pekerja yang tidak mempunyai sebarang sijil berkaitan pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Menurut Anisa selain faktor kelayakan, isu beban tugas berlebihan dalam kalangan pekerja taska turut menjadi antara cabaran utama yang boleh menjejaskan kesihatan mental mereka ketika menjalankan  tanggungjawab menjaga kanak-kanak.

Situasi itu berlaku apabila pengasuh yang disediakan tidak mencukupi dan terpaksa menggalas beban menjaga kanak-kanak yang ramai, sekali gus mengundang risiko keselamatan ke atas kanak-kanak tersebut sendiri.

Beliau berkata, meskipun terdapat saringan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, termasuk keperluan mendapatkan pengesahan kesihatan daripada doktor, aspek kesihatan mental pekerja masih memerlukan pemantauan yang menyeluruh dan berkala.

Katanya, saringan kesihatan mental seharusnya dilaksanakan secara konsisten, sekurang-kurangnya setiap enam bulan atau setahun sekali bagi memastikan pekerja taska benar-benar berada dalam keadaan mental yang sihat sekali gus berkeupayaan untuk menjalankan tugas.

“Ada yang melihat guru atau pengasuh taska daripada golongan muda berusia sekitar 20-an kurang pengalaman serta kurang tahap empati dalam mengendalikan kanak-kanak…sebab itu ada yang berpandangan mereka ini cepat marah atau tidak sabar dalam menjaga kanak-kanak.

“Namun secara peribadi, bagi saya usia bukan penentu kerana pengasuh yang mempunyai minat dan berjiwa pendidik tetap mampu menguruskan kanak-kanak dengan baik walaupun masih muda. Akan tetapi, ketiadaan minat dan tidak bersedia dari segi emosi itu yang boleh menjejaskan kualiti penjagaan yang diberikan,’’ katanya.

KOS PENGURUSAN YANG TINGGI

Dalam pada itu, Anisa berkata kos pengoperasian taska yang dilihat meningkat saban tahun, menyukarkan pengusaha memberikan gaji yang lebih tinggi kepada pekerja taska. 

Beliau berkata perbelanjaan utiliti, sewaan premis, kos penyediaan makanan serta kesukaran menaikkan yuran taska, antara beban yang terpaksa ditanggung pengusaha.

“Kebanyakan guru dan pengasuh taska hanya menerima gaji sekitar RM1,700 sebulan. Malah terdapat taska di kawasan kampung atau pedalaman yang menawarkan kadar lebih rendah daripada jumlah itu.

“Keadaan ini berlaku kerana pengusaha taska berdepan kekangan untuk menaikkan yuran memandangkan sebahagian daripada ibu bapa tidak mampu menanggung kos tambahan, sekali gus menyebabkan kadar gaji pengasuh kekal pada tahap minimum. Justeru kita berharap ada  campur tangan kerajaan mungkin dalam pemberian subsidi tertentu kepada pengusaha taska bagi membantu kos operasi,’’ katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat pengusaha taska yang terbeban bagi mendapatkan lesen pengoperasian taska termasuk daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang boleh mencapai RM20,000.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan agar  agensi berkaitan menyemak semula syarat penubuhan pusat asuhan dan taska yang dilihat terlalu ketat sehingga berpotensi menggalakkan sebahagian premis beroperasi tanpa kelulusan sah.

“Pengusaha taska perlu bayar hingga RM20,000 dan perlu berurusan dengan sekurang-kurangnya tiga agensi berbeza termasuk  bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat), Jabatan Kesihatan dan PBT.

“Kebiasaannya PBT paling susah nak beri kelulusan, jadi agensi dan kementerian berkaitan perlu semak balik syarat…ada pengusaha telah bayar kos sewa bangunan dan bila PBT tidak luluskan lesen, mereka (pengusaha) terpaksa teruskan operasi juga bagi membiayai kos sewa berkenaan, situasi ini yang menyebabkan wujud taska tidak berdaftar atau taska haram,” katanya. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Al-Sultan Abdullah tiada akaun media sosial peribadi – Istana Pahang
Next: Penjara maksimum, sebatan perlu dipertimbang tangani kes pemandu mabuk – Exco

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.