
SIBU: Peningkatan kes buli di sekolah kini menjadi ancaman keselamatam yang serius dalam kalangan pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata, statistik menunjukkan trend yang amat membimbangkan iaitu sebanyak 3,887 kes buli dilaporkan pada 2022, meningkat kepada 4,994 kes pada 2023 dan sehingga Oktober 2024, angka itu telah melebihi 6,200 kes di seluruh negara.
“Angka ini bukan sekadar nombor, ia mewakili ribuan mangsa yang menderita dalam diam. Lebih menyayat hati, beberapa tragedi baru-baru ini melibatkan kehilangan nyawa pelajar akibat tekanan buli,” katanya ketika berucap merasmikan Perkhemahan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sibu peringkat Daerah Sibu 2025, hari ini.
Chieng turut merujuk kepada beberapa kes yang mengejutkan negara, termasuk kematian seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun di Sabah serta dua pelajar universiti yang meninggal dunia dipercayai akibat tekanan emosi berpunca daripada buli.
Beliau menegaskan, kerajaan perlu memperkukuhkan rangka kerja anti buli, mewujudkan sistem pelaporan yang lebih berkesan, menambah baik perkhidmatan kaunseling psikologi dan melaksanakan mekanisma disiplin yang telus dan tegas di sekolah.
“Peranan sekolah bukan hanya mendidik pelajar untuk cemerlang dalam akademik, tetapi juga untuk membentuk insan berperikemanusiaan,” tegasnya.

Chieng turut mengaitkan isu buli dengan nilai-nilai kemanusiaan yang diterapkan dalam BSMM, yang bukan sahaja mendidik pelajar dengan kemahiran pertolongan cemas tetapi juga mengasah jiwa penyayang dan rasa tanggungjawab terhadap sesama manusia.
“BSMM mengajar pelajar bagaimana menyelamatkan nyawa, bukan menyakiti orang lain. Mengajar belas kasihan, bukan ketawa atas penderitaan orang lain,” ujarnya.
Beliau menggesa agar pelajar berani menolak budaya buli dan menjadi individu yang berani menegakkan kebenaran.
“Jangan jadi pembuli, jangan berdiam diri. Jadilah orang yang bangkit mempertahankan rakan yang menjadi mangsa. Mari kita jadikan sekolah tempat di mana impian tumbuh bukan tempat ketakutan,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Chieng turut menyempurnakan pelancaran skrin LED gergasi yang ditaja beliau sendiri untuk kegunaan BSMM Sibu, sebagai simbol komitmen terhadap peningkatan keberkesanan komunikasi dan latihan kecemasan organisasi berkenaan.
“Janji yang dibuat adalah janji yang ditepati. Saya berharap kemudahan baharu ini dapat membantu latihan kecemasan, mempercepat komunikasi ketika bencana serta menarik minat lebih ramai belia untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa golongan muda hari ini merupakan penggerak masa depan negara yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh ketahanan sosial.
“Kemahiran yang anda pelajari hari ini mungkin suatu hari nanti akan melindungi seorang rakan, menyelamatkan nyawa seseorang, atau mengubah perjalanan hidup seseorang.
“Menyelamatkan nyawa adalah tanggungjawab, tetapi mencegah kemudaratan adalah keberanian yang lebih besar,” kata beliau.
Turut hadir ialah Pengerusi BSMM Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee, Naib Pengerusi BSMM Sibu, Dr Rachel Teng serta yang lain.
Oleh Akun Giman