
KUALA LUMPUR: Kegagalan mengawal rentak serangan pada awal set penentuan menjadi punca pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir pada peringkat suku akhir Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, di sini hari ini.
Juara dunia itu tewas 17-21, 21-17, 10-21 kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, dalam pertembungan sengit yang berlangsung selama 67 minit.
“Kami telah mencuba sehabis baik, namun pada awal set penentuan, saya gagal mengekalkan rentak serangan.
“Jadi ia menyebabkan kami ketinggalan jauh 11 mata. Sepatutnya pada masa itu, saya perlu ada lebih banyak strategi berbanding melakukan kesilapan,” kata Tang Jie, sambil menyifatkan gandingan Hong Kong itu jauh lebih berpengalaman.
Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan Tang Jie-Ee Wei dengan pasangan Hong Kong kini seimbang 2-2, dengan pertemuan terakhir pasangan negara itu memperoleh kemenangan pada Terbuka Perancis 2025, Oktober lepas.
Ditanya sama ada mereka kecewa, Ee Wei berkata adalah normal untuk berasa hampa tetapi menerimanya sebagai sebahagian daripada sukan dan menghargai sokongan para peminat serta memohon maaf kerana gagal mara ke pusingan seterusnya.
Tang Jie-Ee Wei bakal beraksi pada kejohanan Terbuka India 2026 dari 13 hingga 18 Januari.- Bernama