Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Tanda amaran dianggap biasa: Fahami bagaimana tumor otak berlaku
  • KESIHATAN

Tanda amaran dianggap biasa: Fahami bagaimana tumor otak berlaku

Utusan Sarawak 1 day ago

KUALA LUMPUR:  Tumor otak jarang menunjukkan gejala ketara pada peringkat awal, justeru, adalah sangat penting untuk peka terhadap perubahan kecil seperti sakit kepala berulang, perubahan emosi atau kesukaran menumpukan perhatian sebelum ia menjadi kecemasan perubatan.

Justeru, Pakar Bedah Saraf di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Mah Jon Kooi menggesa orang ramai lebih prihatin dengan gejala awal yang sering disalah anggap sebagai tekanan atau faktor usia memandangkan kebanyakan pesakit mendapatkan rawatan apabila tumor otak sudah di peringkat akhir.

“Ini dikaitkan dengan fakta bahawa simptom tumor otak bergantung pada kedudukan tumor dan bagaimana ia mempengaruhi fungsi otak yang tertentu.

“Apabila simptom seperti masalah memori atau pertuturan berlaku pada individu lebih berusia, ia sering disalah anggap sebagai simptom penuaan, menjadikan pengesanan awal tumor otak lebih mencabar,” katanya.

Di Malaysia, tumor otak menyumbang kepada 1.6 peratus kes kanser terbaharu melibatkan otak dan sistem saraf pada 2020. Pada 2022, lebih 300,000 kes tumor otak telah dilaporkan di seluruh dunia menjadikannya kanser ke-19 paling lazim dan ke-12 sebagai punca kematian berkaitan kanser – menunjukkan akibat buruk daripada diagnosis yang tertangguh.

Tumor otak merujuk kepada pertumbuhan sel tidak normal dalam otak dan boleh dikategorikan sebagai benigna atau malignan. Dr Mah berkata tumor otak boleh diklasifikasikan sebagai primer bermaksud ia berasal dari dalam otak atau sekunder yang turut dikenali tumor metatastik, yang berlaku apabila kanser merebak ke otak dari bahagian badan yang lain.

Walaupun terdapat pelbagai jenis tumor otak namun ia akan hadir dengan simptom awal yang sama. Ia mungkin termasuk sakit kepala yang kerap atau berlaku secara tiba-tiba, rasa loya, gangguan penglihatan seperti penglihatan berganda atau kehilangan penglihatan separa, kesukaran pertuturan atau ingatan kehilangan keseimbangan dan perubahan mendadak dalam personaliti atau tingkah laku.

Dr Mah berkata tumor yang berlaku di lobus depan boleh menjejaskan fungsi kognitif lebih tinggi seperti personaliti, tingkah laku sosial, kawalan impuls, emosi, pergerakan dan pertuturan manakala tumor di lobus temporal yang memproses bunyi, bahasa dan ingatan berkemungkinan mengakibatkan masalah pertuturan dan kehilangan ingatan.

“Namun, kemunculan gejala ini berbeza-beza bergantung pada kedudukan tumor dalam otak. Hampir separuh daripada pesakit tumor otak mengalami beberapa bentuk gangguan ingatan namun ia bergantung pada saiz dan kedudukan tepat tumor tersebut,” katanya.

Dr Mah berkata untuk mengesahkan tumor otak, ujian pengimejan diagnostik seperti CT dan MRI dengan kontras yang dipertingkatkan penting untuk mengenal pasti saiz, jenis dan kedudukan tumor yang tepat dalam otak. 

“MRI secara amnya banyak digunakan kerana ia dapat memberikan imej otak yang terperinci dan boleh membezakan tisu normal dan tidak normal dengan lebih baik,” katanya yang turut menambah tahap ketepatan ujian pengimejan diagnostik penting untuk doktor pakar merancang jenis rawatan dan menentukan sama ada tumor boleh dibuang melalui pembedahan atau tidak.

Seorang lagi Pakar Bedah Saraf di SMCV Dr Gerard Arvind Martin berkata tumor otak sekunder (yang merebak dari bahagian lain dalam badan) berlaku lima hingga 10 kali lebih kerap berbanding tumor otak primer manakala 40 peratus pesakit kanser paru-paru berisiko menghidap tumor otak sekunder pada satu tahap penyakit kanser mereka. 

“Kanser seperti paru-paru, payudara, kolon dan melanoma berkemungkinan besar untuk bermetastasis ke otak dan ini amat biasa dilihat,” katanya sambil mengaitkan satu kes yang dilaporkan secara meluas pada Mac 2025, iaitu berita mengenai seorang ahli politik tempatan mendedahkan bahawa kanser paru-parunya telah merebak ke otak dan mengakibatkan tumor otak berukuran 3 sentimeter (cm).

“Punca tepat kanser tertentu lebih cenderung untuk bermetastasis ke otak masih tidak jelas. Namun, ia berlaku apabila sel-sel kanser berpisah daripada tumor primer, bergerak melalui aliran darah dan bersarang di otak hingga mula membentuk ketulan tumor,” katanya.

Dr Gerard Arvind berkata genetik memainkan peranan penting dalam menentukan risiko keseluruhan seseorang untuk mendapat tumor otak sepanjang hayat mereka, dalam kes demikian, faktor berkaitan gaya hidup mungkin bertindak sebagai pencetus kepada individu yang membawa ciri genetik asas, lalu berpotensi membawa kepada perkembangan tumor dari semasa ke semasa.

Memandangkan terdapat pelbagai ketidakpastian yang menyelubungi punca tumor otak, pengesanan awal selepas menghadapi simptom menjadi faktor utama dalam menentukan keadaan dan pelan rawatan untuk pesakit.

Sebaik tumor otak didiagnosis dari segi jenis, saiz dan kedudukannya, pakar bedah saraf akan menentukan pelan rawatan paling sesuai, bagaimanapun, pembedahan tetap menjadi satu daripada rawatan paling berkesan khususnya untuk tumor yang boleh diakses.

Satu daripada prosedur pembedahan dicadangkan ialah craniotomy, iaitu sebahagian tengkorak akan dikeluarkan sementara waktu untuk membolehkan pakar bedah saraf mengakses otak, dan dalam sesetengah kes, prosedur ini boleh dilakukan ketika pesakit dalam keadaan sedar, bagi memastikan pesakit kekal responsif.

“Pada masa sama, pasukan pembedahan dapat memantau fungsi neurologi penting seperti pertuturan, pergerakan atau penglihatan dalam masa nyata selain membantu mengekalkan kawasan kritikal otak,” kata Dr Gerard Arvind.

Bagi tumor kecil atau sukar dicapai, beliau berkata prosedur radiosurgeri menawarkan alternatif bukan invasif tanpa melibatkan pembedahan tetapi menggunakan radiasi dos tinggi disasarkan tepat untuk mengecutkan atau mengawal tumor, yang dijalankan dalam satu sesi sahaja.

Beliau berkata prosedur ini melibatkan kemasukan endoskop nipis dan dilengkapi dengan cahaya dan kamera, melalui saluran hidung untuk mengakses tumor otak, yang membolehkan pakar bedah saraf melakukan prosedur dengan lebih tepat dan mengurangkan gangguan pada tisu sekeliling otak.

Pesakit yang menjalani prosedur pembedahan endoskop mendapat manfaat masa pemulihan lebih cepat, kemasukan hospital yang singkat dan mengurangkan sebarang ketidakselesaan selepas pembedahan.

“Di SMCV, teknik pembedahan ini berjaya digunakan untuk merawat kes tumor pituitary yang sering dikenal pasti oleh pengamal am atau pakar oftalmologi apabila pesakit mengalami gejala seperti gangguan penglihatan dan sakit kepala yang teruk,” katanya.

Dr Gerard Arvind turut berkongsi satu kes melibatkan prosedur pengaliran semula cecair srebrospina (CSF) di SMCV membabitkan seorang pesakit kanser paru-paru yang mengalami tumor otak sekunder hingga menghalang aliran CSF dan menyebabkan tekanan berbahaya dalam otak.

Satu prosedur invasif minimum dikenali endoscopic third ventriculostomy telah dijalankan bagi memulihkan semula aliran CSF diikuti dengan pembuangan tumor – kesemuanya dalam satu sesi. Pesakit pulih dan dapat meneruskan rawatan kemoradioterapi seperti dirancang, sekali gus mencerminkan penjagaan bedah saraf yang canggih mampu meningkatkan hasil rawatan secara signifikan.

Sempena Hari Kesedaran Tumor Otak baru-baru ini, terdapat peringatan penting untuk mengutamakan kesihatan saraf dan otak serta untuk bertindak lebih pantas apabila simptom kecil atau tidak jelas berlaku pada individu tanpa mengira usia.

Tumor otak mungkin jarang berlaku tetapi simptomnya tetap ada walapun dianggap sebagai simptom biasa. Daripada sakit kepala berterusan kepada perubahan emosi, mengenali tanda-tanda ini lebih awal boleh membawa kepada hasil rawatan berbeza. 

Diagnosis tumor otak bukanlah penamat kehidupan. Dengan kemajuan berterusan dalam ujian diagnostik dan teknik pembedahan invasif minimum, pesakit kini mempunyai pilihan lebih baik serta harapan untuk pulih berbanding sebelum ini dengan tindakan tepat pada masanya di samping sokongan yang betul daripada penyediaan penjagaan kesihatan daripada yang tersayang, individu boleh pulih sepenuhnya.– Bernama

Continue Reading

Previous: COVID-19: Subvarian baharu JN.1, tidak berbahaya, tiada kematian dilaporkan – KKM
Next: Peningkatan kemudahan Klinik Kesihatan Kota Sentosa diteruskan di bawah inisiatif RTP

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.