BETONG: Tanaman halia memiliki potensi yang tinggi untuk dieksport ke luar negara melibatkan beberapa negara Eropah, Amerika Syarikat dan China.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia amat sesuai untuk tujuan komersial dan eksport kerana memiliki banyak manfaat yang digunakan di dalam produk kosmetik dan farmaseutikal.
Bagaimanapun katanya, setakat ini Malaysia hanya mampu mengeksport beberapa kontena sahaja yang masih tidak mencukupi memandangkan permintaan tinggi dari luar negara.
“Apa yang kita rundingkan ialah untuk mengeksport 10 kontena tanaman halia sebulan ke luar negara dan setakat ini kita hanya mampu mengeluarkan satu hingga dua kontena untuk tujuan tersebut.
“Mereka di luar negara sangat-sangat memerlukan tanaman halia sebagai bahan mentah dalam perusahaan produk kosmetik dan farmaseutikal seperti di negara Eropah, Amerika Syarikat dan China,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Rumah Enteri Lengkoi, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata pengeksportan 10 kontena tanaman halia setiap bulan itu khusus kepada negara China yang dilihat menjadi cabaran kepada penduduk di kawasan ini memandangkan tanaman halia tersenarai sebagai salah satu produk di bawah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Betong.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyampaikan cek bernilai RM9 juta mewakili kementeriannya untuk tujuan memulakan PROSPEK yang dicadangkan bermula pada 2025 dengan tiga program iaitu ternakan ayam kampung, tanaman halia dan kraf tangan sulaman kebaya dabong.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Penasihat Penyelidikan Sains Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.