

KANOWIT: Kejadian tanah susur dilaporkan berlaku di bahagian belakang Rumah Kujat, Blok A, KM 5, Jalan Kanowit di sini mengakibatkan lantai konkrit sebuah bilik runtuh, bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada 2.00 petang, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi menjalankan penilaian awal dan mengesahkan berlaku tanah susur melibatkan bahagian belakang rumah panjang Blok A, khususnya bilik nombor 1 dan bilik nombor 2.
“Kejadian itu melibatkan anggaran keluasan sekitar 44×8 meter persegi dan menyebabkan lantai konkrit di bahagian belakang bilik nombor 2 jatuh serta mengakibatkan kerosakan kecil di bahagian dapur rumah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, sebentar tadi.
Katanya, susulan itu, anggota bomba memasang sawar keselamatan di sekitar kawasan terjejas selain menasihatkan penghuni rumah supaya sentiasa berwaspada terhadap keadaan semasa.
“Operasi ditamatkan pada 2.21 petang, setelah keadaan disahkan selamat dan terkawal,” ujarnya.
Oleh Akun Giman