

KUCHING: Kejadian tanah susur dilaporkan berlaku berhampiran jalan Kampung Haji Baki, Jalan Kuching–Bau, awal pagi tadi ketika rondaan Monsun Timur Laut (MTL) dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.
Rondaan yang dilaksanakan sekitar 4.00 pagi tadi melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa dengan kekuatan enam anggota serta sebuah jentera Tindak Balas Segera (RRV).
Semasa rondaan dijalankan, pasukan mendapati kejadian tanah susur berkenaan berpotensi membahayakan pengguna jalan raya yang melalui laluan tersebut.
Sehubungan itu, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah mengambil tindakan segera dengan memasang kon keselamatan di lokasi kejadian sebagai langkah awal bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya.
Tiada kecederaan atau kemalangan dilaporkan setakat ini dan keadaan di lokasi masih dipantau oleh pihak bomba.
JBPM Sarawak menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berwaspada, terutama ketika melalui kawasan cerun dan laluan berbukit sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).