Tanah susur 14 meter ancam keselamatan lima penghuni rumah

Facebook
WhatsApp
KEJADIAN tanah susur berlaku di bahagian belakang rumah di Tapang Pungga, hari ini. Foto APM Lubok Antu

LUBOK ANTU: Lima penghuni sebuah rumah di Tapang Pungga, di sini, berdepan risiko keselamatan selepas kejadian tanah susur berlaku di bahagian belakang kediaman mereka, dipercayai akibat hakisan dan struktur tanah yang tidak stabil.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 9.53 pagi tadi sebelum tiga anggota dikerahkan ke lokasi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati tanah susur berkenaan berlaku di kawasan belakang rumah dan menyebabkan bahagian dinding dapur mengalami keretakan sehingga ruang tersebut tidak lagi selamat digunakan.

“Keadaan dinding dapur yang retak membahayakan penghuni ketika menjalankan aktiviti memasak, manakala kerosakan turut melibatkan hampir keseluruhan kawasan dapur.

“Pembaikan segera perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan penghuni rumah terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejadian tanah susur itu dianggarkan berukuran kira-kira 14 meter lebar dan 3 meter dalam.

“Tanah susur dipercayai berpunca daripada struktur tanah yang tidak stabil akibat hujan, selain faktor cerun yang curam di kawasan berkenaan,” katanya.

APM turut melakukan pemantauan di sekitar lokasi dan memasang pita amaran bagi menghalang orang ramai menghampiri kawasan berisiko.

Desem berkata, kesemua lima penghuni rumah dilaporkan selamat dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

Sebelum meninggalkan lokasi pada 10.55 pagi, anggota APM turut menasihati penduduk supaya sentiasa peka terhadap perubahan keadaan tanah dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat tanda awal pergerakan tanah atau tanah runtuh.

Operasi pemantauan itu melibatkan tiga anggota APM Daerah Lubok Antu dengan sebuah ambulans pacuan empat roda.

Oleh Adi Safarman