
JAKARTA: Dua maut manakala 21 lagi masih hilang selepas kejadian tanah runtuh melanda daerah Majenang di wilayah Cilacap, Jawa Tengah pada 8.00 malam semalam waktu tempatan, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia.
Jurucakap BNPB Abdul Muhari, berkata hujan lebat mencetuskan kejadian tanah runtuh yang melanda kediaman di tiga kampung iaitu Cibeunying, Cibaduyut dan Tarakan.

“Pasukan penyelamat mengeluarkan 23 mangsa, dengan tiga daripadanya mengalami cedera ringan setakat 3.00 pagi Jumaat.
“Kerugian turut membabitkan 12 rumah yang rosak, manakala 16 lagi berada dalam keadaan berisiko,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata keadaan tanah yang masih tidak stabil menyukarkan operasi, namun Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Cilacap bersama pasukan mencari dan menyelamat terus menjalankan usaha menyelamat dengan bantuan jentera berat bagi mempercepatkan pemindahan.
Agensi berkenaan turut mengingatkan penduduk serta anggota penyelamat agar berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya runtuhan susulan, ekoran ramalan hujan di Majenang dari Jumaat hingga Ahad. – Bernama