
LIMBANG: Insiden tanah runtuh yang berlaku di Taman Pyramid, Jalan Kubong, di sini hari ini, tidak menjejaskan penduduk berhampiran kawasan kejadian.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan berkata, sepasukan anggota bomba telah bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai sebaik menerima panggilan kecemasan pada 8.27 pagi.
Menurutnya, hujan lebat yang berlaku malam tadi menyebabkan berlakunya tanah runtuh di bahagian belakang kawasan perumahan Taman Pyramid selain mengakibatkan pokok tumbang dan mengenai wayar Syarikat SESCO Berhad (SESCO).

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jarak rumah terdekat dengan kawasan tanah runtuh adalah kira-kira 10 meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian tersebut turut dimaklumkan kepada Jawatankuasa Bencana Daerah Limbang, Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang serta pihak SESCO bagi tindakan susulan termasuk penilaian penuh terhadap struktur tanah yang runtuh dan wayar elektrik yang terjejas.
Oleh Adeng Edrus