

PANTAU… Anggota APM Daerah Lubok Antu sedang memantau kejadian tanah runtuh di Jalan Bintong, Batang Ai pada pagi tadi. Foto APM Lubok Antu
LUBOK ANTU: Satu kejadian tanah runtuh telah dilaporkan berlaku di Jalan Bintong, Batang Ai pada pagi tadi, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengadu sekitar 9.45 pagi.
“Sejurus menerima maklumat, tiga anggota APM telah dikerahkan ke lokasi kejadian seperti yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil pemeriksaan mendapati tanah runtuh benar-benar berlaku di laluan tersebut dengan anggaran kelebaran dua meter dan kedalaman satu meter.
Kejadian dipercayai berpunca daripada saluran paip air yang pecah, menyebabkan aliran air yang tidak terkawal hingga mengakibatkan jalan mendap dan runtuh.
“Pengadu memaklumkan bahawa air mengalir keluar dari saluran paip yang pecah, lalu menyebabkan struktur tanah menjadi lemah dan berlaku tanah runtuh,” jelas Desem.
Beliau turut memaklumkan bahawa kejadian ini boleh menjadi lebih berbahaya sekiranya hujan lebat terus melanda kawasan berkenaan, berikutan struktur tanah yang tidak stabil.
Sebagai langkah keselamatan, pita amaran telah dipasang di kawasan terjejas untuk memberi amaran kepada penduduk agar lebih berhati-hati serta peka terhadap keadaan sekeliling.
Setakat ini, tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan. Keadaan di lokasi juga disahkan masih selamat dan terkawal.
Pihak APM menasihatkan orang ramai untuk melaporkan sebarang insiden atau perubahan di kawasan berisiko agar tindakan segera dapat diambil.
Oleh Adi Safarman