


Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa hadir pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah bagi projek cadangan menaik taraf Jalan Mara Selangking Nanga Sela Tanjung Paoh di sini, semalam. Foto: Pejabat Timbalan Premier
BETONG: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menasihatkan pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan kononnya kerajaan merampas tanah melalui Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Sarawak.
Beliau menegaskan, pelaksanaan Seksyen 6 adalah mengikut peruntukan undang-undang dan melibatkan pembayaran pampasan yang adil apabila tanah diperlukan bagi tujuan pembangunan awam seperti pembinaan atau menaik taraf jalan, sekolah dan klinik.


Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa hadir pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah bagi projek cadangan menaik taraf Jalan Mara Selangking Nanga Sela Tanjung Paoh di sini, semalam. Foto: Pejabat Timbalan Premier
“Hari ini kita buktikan kerajaan tidak merampas tanah. Apabila tanah diperlukan untuk pembangunan, pampasan dibayar mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah bagi projek cadangan menaik taraf Jalan Mara Selangking Nanga Sela Tanjung Paoh di sini, semalam.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, proses pengambilan tanah dilaksanakan secara telus dengan mengambil kira kepentingan pemilik tanah, selaras dengan undang-undang tanah negeri.


Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa hadir pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah bagi projek cadangan menaik taraf Jalan Mara Selangking Nanga Sela Tanjung Paoh di sini, semalam. Foto: Pejabat Timbalan Premier
Pada majlis itu, seramai 49 penerima menerima cek pampasan secara simbolik berjumlah RM981,461.10 bagi projek yang melibatkan keluasan 20.26 hektar merangkumi 63 lot bidang tanah, termasuk Tanah Rizab Komunal Bumiputera.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Moris Nayup berkata kawasan Nanga Sela telah disukat mengikut Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Sarawak sebelum proses pampasan dilaksanakan.
Dalam ucapannya, Uggah turut mengingatkan bahawa tanah merupakan pusaka yang amat bernilai kepada masyarakat Dayak dan perlu dipelihara serta dijaga dengan baik demi generasi akan datang.
“Tanah ini pusaka yang cukup berharga. Jagalah elok-elok dan jangan mudah dipengaruhi oleh pihak yang cuba mengelirukan masyarakat dengan maklumat tidak tepat,” katanya.
Beliau turut menggesa pemilik tanah NCR supaya memohon kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) untuk menyukat tanah di bawah Seksyen 18 bagi membolehkan geran individu dikeluarkan, sekali gus menjamin hak milik yang lebih teratur dan terpelihara.
Selain itu, pemilik tanah berstatus JOT disaran membawa geran masing-masing ke pusat khidmat berhampiran bagi memudahkan urusan dan mempercepatkan proses permohonan geran rasmi.
Turut hadir Pemangku Timbalan Residen Betong Hamdan Katang, Jurutera Bahagian JKR Betong Jason Ng Boon Tuan, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Setiausaha Majlis Daerah Betong Lister Guwie, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Spaoh Denny Lim serta ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman