
KUALA LUMPUR: Sarawak perlu bersama-sama Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menjalankan libat urus secara antara kerajaan (G2G) untuk meyakinkan Kesatuan Eropah (EU) bahawa tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) adalah hak milik yang sah.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata langkah itu penting memandangkan isu NCR perlu ditangani secara diplomatik.
“Isu NCR ini sebenarnya berkait rapat dengan prinsip di bawah EUDR (Peraturan Penyahhutanan EU) yang memastikan tanah yang digunakan mempunyai hak milik yang sah, namun masalahnya kebanyakan NCR ini tidak mempunyai dokumen seperti geran atau sistem tanah rasmi,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata oleh kerana kebanyakan tanah NCR tidak mempunyai dokumen rasmi seperti geran tanah, hal itu menyukarkan pematuhan terhadap EUDR yang menuntut bukti pemilikan yang sah bagi perladangan.
Chan berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) yang membangkitkan kebimbangan berkenaan dengan kesan pelaksanaan EUDR terhadap usaha membangunkan tanah NCR untuk aktiviti ekonomi luar bandar.- Bernama