Tanah mendap punca lubang besar di Jalan Nibong Tada

Facebook
WhatsApp
KEADAAN lubang besar di Jalan Nibong Tada.

KANOWIT: Sebuah laluan utama di Jalan Nibong Tada mengalami kerosakan selepas tanah mendap, menyebabkan lubang besar terbentuk di jalan berkenaan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 10.03 pagi.

Susulan laporan tersebut, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit segera dikerahkan ke lokasi untuk melakukan pemantauan.

LALUAN utama Jalan Nibong Tada mengalami kerosakan akibat tanah mendap. Foto PGO

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati laluan utama Jalan Nibong Tada sebelum simpang SMK Sedaya dari Tada mengalami kerosakan akibat tanah mendap.

“Pihak polis, Jabatan Kerja Raya (JKR), dan kontraktor pembinaan jalan telah memasang sawar-sawar serta kon keselamatan di kawasan jalan berlubang,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Oleh Tarani Lanting