ROBAN: Satu laporan kejadian tanah gelongsor di sebuah blok asrama di Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul Roban telah diterima oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, dekat sini semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan (PA) Nur Athirah Batu berkata pihaknya telah menerima panggilan daripada Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller sekitar jam 6 pagi.
“Setibanya dilokasi kejadian, anggota APM terus melakukan pemantauan di tempat kejadian. Menurut pihak penjaga sekolah, kejadian tanah runtuh itu adalah disebabkan oleh hujan berterusan sejak kelmarin.
“Jarak anggaran tanah susur tersebut dalam 20 meter dari atas sampai bawah bukit yang telah menjejaskan sebuah bangunan asrama di sekolah terbabit,” katanya.
Nur Athirah berkata sekiranya hujan masih berterusan tanah runtuh tersebut akan berlaku lebih buruk lagi.
Katanya, anggota APM yang bertugas terus menasihati para pelajar dan kakitangan sekolah agar sentiasa lebih berhati-hati dan mengawasi gerak-geri pelajar agar tidak mendekati kawasan terbabit.
“Penjaga sekolah dan guru juga diminta supaya menghubungi talian APM Saratok sekiranya berlaku kes kecemasan seperti itu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir telah turun padang bagi meninjau kejadian tanah runtuh di sekolah berkenaan hari ini.
Beliau menyatakan telah menghubungi pihak berwajib untuk melakukan tindakan lanjut bagi memulihkan kawasan runtuhan agar perkara itu tidak berulang lagi.
Oleh ADI SAFARMAN