
PETRA JAYA: Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar hari ini mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi penggal kesepuluh, sekali gus meneruskan khidmat beliau sebagai Speaker paling lama berkhidmat di Malaysia.
Istiadat angkat sumpah tersebut disempurnakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak.
Pelantikan itu berkuat kuasa dari 16 November 2025 hingga 15 November 2027.
Majlis turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Timbalan-Timbalan Premier, barisan kabinet negeri, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Timbalan Speaker DUN serta ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan.
Beliau mula menyandang jawatan Speaker pada 15 November 2000, menjadikan tempoh perkhidmatannya melebihi dua dekad.
Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Leeds, England dan Barrister-at-Law dari Inner Temple, London, selain memiliki kelulusan pascasiswazah dalam Pengurusan Pelabuhan dan Perkapalan dari University of Wales, Cardiff.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang Perbadanan Kemajuan dan Perindustrian Kayu Sarawak (1974–1976) sebelum menjadi peguamcara dan peguambela dari 1976 hingga 2000.
Beliau turut pernah memegang jawatan korporat termasuk Pengerusi Interfinance Berhad (1980–1991) dan Ketua Pengarang The Sarawak Tribune (1990–2000).
Dalam arena politik, beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Kuala Rajang dan Serdeng/Semop, selain menyandang jawatan Timbalan Speaker DUN Sarawak dari 1995 hingga 2000.
Sejak 2002, beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan PBB.
Pelantikan semula itu mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap kepimpinan, pengalaman dan komitmen beliau dalam menerajui institusi perundangan tertinggi Sarawak.
Oleh Masrin Affirah