
KUCHING: Bekas Ahli Dewan Negara, Tan Sri Dato Sri Empiang Jabu, disifatkan sebagai seorang wanita luar biasa yang bukan sahaja menjadi kebanggaan masyarakat Dayak, malah seluruh wanita di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Tan Sri Empiang telah memberikan sumbangan besar dalam memperkasa wanita Dayak, khususnya melalui kepimpinan dan semangat juangnya yang tidak pernah luntur.
“Beliau telah mengembara ke seluruh pelosok Sarawak dan turut merantau ke luar negara untuk menimba pengalaman serta berkongsi pengetahuan dan inspirasi dengan wanita Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Tan Sri Dato Sri Empiang Jabu: A Legacy of Empowering Dayak Women di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Premier Sarawak menambah, Tan Sri Empiang telah memainkan pelbagai peranan penting sepanjang hayatnya sebagai seorang pendidik, isteri kepada pemimpin politik, ibu penyayang, ahli Dewan Negara, ahli politik yang aktif serta pejuang warisan budaya, khususnya menerusi peranannya dalam Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS).
Beliau turut menyentuh latar belakang Tan Sri Empiang yang dibesarkan di kawasan pedalaman dan menjadikan persekitaran yang mencabar itu sebagai sumber kekuatan dan inspirasi untuk terus maju.
“Dengan kerja keras dan keazaman tinggi, beliau sentiasa berpegang pada keyakinan bahawa pendidikan ialah kunci kepada kehidupan yang lebih baik.
“Perjuangan beliau menjadi ilham kepada kita dalam kerajaan untuk terus menekankan pendidikan sebagai jalan membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Premier Sarawak memaklumkan beliau akan membawa kisah perjuangan Tan Sri Empiang ke Sidang Kemuncak Wanita ASEAN, bagi berkongsi tentang tekad dan semangat kental wanita Sarawak yang menjadi contoh nyata bagaimana wanita mampu mencorak perubahan dan membina masa depan yang lebih cemerlang di rantau ini.
Turut hadir, isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang. -UKAS