Tan Kai ketuai lawatan MPP ke Pulau Pinang, dalami bandar mesra warga emas dan pengurusan sisa pepejal

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PULAU PINANG: Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai mengetuai lawatan sambil belajar selama tiga hari ke Pulau Pinang bermula 15 hingga 17 Julai bagi memperkukuh pemahaman mengenai pembangunan bandar mesra warga emas serta meningkatkan amalan pengurusan sisa pepejal.

Bercakap kepada Utusan Sarawak, Tan berkata delegasi MPP mengadakan lawatan ke Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi mempelajari pelaksanaan Inisiatif Bandar Mesra Warga Emas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang kini menjadi antara fokus utama pihak berkuasa tempatan susulan peningkatan populasi warga emas.

“Seiring pertambahan bilangan warga emas di Sarawak, adalah penting untuk kita memahami bagaimana pihak berkuasa tempatan lain merancang dan menyediakan kemudahan, perkhidmatan serta ruang awam yang lebih inklusif dan mudah diakses oleh golongan tersebut,” katanya.

PENGERUSI MPP, Tan Kai mengadakan perbincangan bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Rajendran P. Anthony.

Menurut beliau, program pada hari pertama memberi tumpuan kepada pelaksanaan Inisiatif Bandar Mesra Warga Emas WHO di MBPP. Delegasi turut diberi taklimat mengenai dasar dan program yang dilaksanakan bagi menyokong penuaan aktif, menggalakkan penyertaan masyarakat serta meningkatkan keupayaan warga emas untuk hidup berdikari.

Delegasi MPP turut melawat sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas bagi meninjau pelbagai program sosial, rekreasi dan kesejahteraan yang disediakan kepada golongan itu. Mereka juga dibawa melawat projek naik taraf lorong belakang untuk melihat bagaimana ruang bandar yang kurang dimanfaatkan dapat ditransformasikan menjadi kawasan yang lebih bersih, selamat dan mesra komuniti.

DELEGASI Majlis Perbandaran Padawan (MPP) yang menyertai lawatan sambil belajar ke Pulau Pinang.

Pada hari kedua, lawatan memberi tumpuan kepada aspek pengurusan sisa pepejal menerusi kunjungan ke sebuah stesen pemindahan sisa. Delegasi diberi pendedahan mengenai sistem pengumpulan, pengasingan, pemindahan dan pelupusan sisa yang diamalkan di Pulau Pinang, termasuk kaedah operasi yang meningkatkan kecekapan pengurusan dan kelestarian alam sekitar.

“Lawatan ini memberi pendedahan yang amat berguna mengenai pendekatan praktikal yang boleh disesuaikan mengikut keperluan kawasan Padawan. Kami berharap dapat mengenal pasti inisiatif yang sesuai untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di samping mewujudkan komuniti yang lebih bersih, mampan dan lestari,” katanya.

DELEGASI MPP melawat sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas bagi meninjau program dan kemudahan yang disediakan untuk golongan tersebut.

Beliau berkata, lawatan sambil belajar itu turut menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan serta pertukaran idea dan amalan terbaik antara pihak berkuasa tempatan di Pulau Pinang dan Sarawak.

Delegasi MPP turut disertai ahli-ahli majlis serta kakitangan yang mengikuti sesi taklimat, lawatan tapak dan perbincangan teknikal sepanjang program tiga hari tersebut.