
KUCHING: Usaha memperkasa usahawan mikro dan koperasi tempatan terus diperkukuh apabila Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick turun padang melawat Tamu Desa Pasar Sungai Apong hari ini.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Ewon turut menandatangani plak perasmian Tamu Desa Sungai Apong sebagai simbol sokongan kerajaan terhadap pembangunan ekonomi komuniti di peringkat akar umbi.
Pasar tradisional tersebut merupakan antara pusat niaga penting di kawasan itu, menyediakan platform kepada penjaja dan usahawan kecil untuk memasarkan produk tempatan serta memainkan peranan dalam mengekalkan budaya perniagaan warisan yang masih relevan dalam landskap ekonomi semasa.
Beliau berkata, inisiatif menaik taraf prasarana pasar tradisional seperti ini bukan sahaja memperkukuh jaringan niaga komuniti, malah membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia dan wanita untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Langkah ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan ekosistem keusahawanan yang inklusif, mampan, dan memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa KUSKOP komited meneruskan pelbagai program pembangunan kapasiti dan bimbingan keusahawanan bagi memastikan usahawan kecil mampu berkembang secara lestari.
“Pendekatan holistik ini penting untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi komuniti secara menyeluruh,” tambahnya.
Turut hadir memberi sokongan ialah Datuk Bandar Majlis Perbandaran Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.
Oleh Norman B.