Liga Perdana Inggeris
PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard memberi amaran kepada Tammy Abraham supaya menghormati ‘peraturan’ selepas penyerang Chelsea itu bertekak dengan Cesar Azpilicueta.
Tammy bertekak dengan Cesar berkenaan dengan siapa harus mengambil sepakan penalti ketika aksi kelab berkenaan mengalahkan Crystal Palace 4-0.
Ketika Chelsea mendahului 3-0 pada separuh masa kedua, Tammy mahu mengambil penalti kedua The Blues sekali gus merampas peranan Jorginho, iaitu pakar sepakan penalti yang menjaringkan gol (penalti pertama) sebelum itu.
Tammy dan Timo Werner berbincang mengenai siapa yang perlu mengambilnya sebelum kapten Chelsea, Cesar masuk campur.
Cesar mengambil bola dari tangan Tammy dan memberikannya kepada Jorginho sambil memberi isyarat kepada penyerang itu untuk beredar.
“Ia sudah diselesaikan. Saya mahu pemimpin dan saya tidak kisah jika ada sedikit konflik.
“Jika Tammy mahu mengambilnya kerana inginkan gol atau apa saja, dia perlu diingatkan mengenai kedudukannya.
“Saya menghargai keghairahannya kerana persembahannya berhak mendapatkan gol tetapi peraturannya ialah anda tidak boleh memotong barisan ketika ini.
“Jadi terimalah keadaannya,” jelas Lampard. -AFP