KUALA LUMPUR: Penumpang KTM Komuter laluan Lembah Klang boleh menikmati perkhidmatan itu secara percuma selama sebulan bermula semalam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketika mengumumkan berita gembira itu, beliau berkata, selain mengurangkan kos hidup rakyat, pemberian tambang percuma juga bertujuan mengurangkan kesesakan jalan awam.
“Seperti saya umumkan, kerajaan akan berikan tambang percuma selama sebulan untuk semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian RapidKL.
“Selain RapidKL, KTM Komuter di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) laluan Lembah Klang juga akan dapat tambang percuma selama sebulan,” katanya, pada sidang media selepas menaiki Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu dari Stesen Kampung Batu ke Stesen Sri Damansara Sentral di sini semalam.
Terdahulu, ketika berucap melancarkan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen Kampung Batu, Ismail Sabri mengumumkan perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL merangkumi MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Bas (BRT), monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula semalam.
Menjelas lanjut, Perdana Menteri berharap pengguna akan menggunakan pengangkutan awam bukan hanya sepanjang tempoh pemberian tambang percuma, tetapi setiap masa kerana ia dapat menjimatkan masa perjalanan ke sesuatu destinasi.
Beliau berkata, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM155 juta untuk pemberian tambang percuma masing-masing RM140 juta untuk semua perkhidmatan pengangkutan awam di bawah RapidKL dan RM15 juta bagi KTM Komuter laluan Lembah Klang.
Ditanya jika kerajaan akan memberikan harga istimewa bagi tambang pengangkutan awam selepas tambang percuma tamat, Ismail Sabri berkata, ia akan diputuskan selepas tempoh sebulan berakhir.
— Bernama