KUALA LUMPUR: Pertambahan kerusi agar satu pertiga Dewan Rakyat diwakili oleh Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak hanya boleh dilakukan melalui pindaan ke atas Perkara 46 Perlembagaaan Persekutuan dengan sokongan majoriti dua pertiga.
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kajian berkenaan perkara ini akan dilaksanakan sebelum dibawa ke Kabinet.
“Kajian mengenai perkara ini dijangka akan mengambil sedikit masa oleh sebab ia melibatkan pindaan undang-undang khususnya berkaitan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Richard Riot Jaem (Serian-GPS) di Dewan Rakyat, semalam.
Richard bertanya mengenai peruntukan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat dikhaskan untuk Sabah dan Sarawak.
Azalina berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakan Urusan Kajian Semula Persempadanan berdasarkan keperluan di bawah Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata tuntutan komposisi satu pertiga kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih di peringkat perbincangan.
Untuk rekod, selepas pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 iaitu kesemuanya mewakili 35 peratus dari keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah untuk Tanah Melayu. Tanah Melayu atau kini Semenanjung Malaysia tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu.
Apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi yang dimiliki Singapura seharusnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan perwakilan 35 peratus itu, sekali gus mengekalkan kuota satu pertiga seperti dalam MA63.
Sarawak dan Sabah kini mempunyai jumlah 56 Ahli Parlimen (31 di Sarawak dan 25 di Sabah) iaitu merangkumi 25 peratus daripada jumlah 222 kerusi Parlimen di seluruh negara.
Jika satu pertiga atau 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen yang ada, bermakna 78 kerusi sepatutnya dari Sarawak dan Sabah. Ini bermakna, perlu ditambah 22 kerusi Parlimen lagi untuk memenuhi keperluan 35 peratus. – Bernama