Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Tambah kerusi Parlimen di Sarawak, Sabah… ada MP bantah?
  • KOLUMNIS

Tambah kerusi Parlimen di Sarawak, Sabah… ada MP bantah?

Utusan Sarawak 20 hours ago

MESYUARAT Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya Jumaat lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri bersetuju secara prinsip untuk mempertimbangkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.

Namun, tidak disebut secara spesifik atau bayangan angka jumlah kerusi Parlimen tambahan untuk kedua-dua negeri Borneo ini.

Semua tahu, mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962, bahawa 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, hendaklah dari Sarawak dan Sabah.

Kini, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi membabitkan 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala baki 56 kerusi atau 25 peratus adalah di Borneo iaitu 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.

MESYUARAT Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching pada 12 September lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri. Foto Bernama.

Untuk memenuhi 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, Sarawak dan Sabah perlu tambahan 21 kerusi lagi, menjadikan jumlahnya 77 kerusi Parlimen.

Namun, seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, penambahan kerusi Parlimen itu tertakluk kepada rundingan lanjut dan kajian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, sebarang pindaan melibatkan kerusi Parlimen memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, manakala penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri adalah di bawah kuasa kerajaan negeri.

Bab mendapatkan ‘persetujuan’ majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat ini adalah sesuatu yang mencabar dan mungkin menjadi ‘halangan’ jika sebahagian Ahli Parlimen (MP) terutama dari Semenanjung tidak menyokongnya.

Meskipun, sudah menjadi hak perlembagaan bagi Sarawak dan Sabah seperti termaktub melalui MA63, sebahagian besar Ahli Parlimen di luar Borneo, masih mengambil pendirian senyap dalam isu ini.

SABAH SENADA DENGAN SARAWAK

Selama ini pun, amat jarang kita dengar mereka menyokong MA63 secara terbuka ketika berbahas di Dewan Rakyat, kecuali Ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor juga turut menggesa pertambahan kerusi Parlimen bagi negeri itu pada mesyuarat MTPMA63 yang dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching, minggu lalu.

Namun, seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, sebarang pindaan melibatkan kerusi Parlimen memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat

Katanya, tuntutan itu selaras dengan semangat MA63 untuk melindungi kepentingan negeri berkenaan.

“Perdana Menteri secara prinsipnya bersetuju tetapi menyatakan perkara itu memerlukan perbincangan teliti pada peringkat teknikal memandangkan ia akan melibatkan pindaan pada Perlembagaan Persekutuan. Inilah kenapa hubungan baik kerajaan negeri-Persekutuan itu penting,” katanya dalam kenyataan.

Secara logiknya, kesemua 222 Ahli Parlimen perlu menyokongnya jika mereka menghayati dan menghormati MA63, yang merintis kepada penubuhan negara Malaysia yang baru menyambut ulang tahun ke-62 Selasa lalu.

Urusan SPR untuk melakukan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya pula adalah sesuatu formaliti dan ia perlu dipenuhi oleh agensi itu.

Soal nak tambah kerusi atau tidak sebenarnya bukan isu. Isunya ialah perjanjian dahulu kala. Janji mesti ditepati. Jika tidak Malaysia tidak wujud.

Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7 Julai lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang memperuntukkan penambahan sebanyak 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 – terbesar berbanding negeri lain di Malaysia.

Kini terpulang kepada SPR untuk ‘mengukur’ kerja persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak bagi menambah 17 kerusi DUN baharu itu.

SPR PERLU BERTINDAK PANTAS

SPR perlu bertindak cepat, kerana menurut sumber, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kemungkinan mahu pilihan raya negeri (PRN) diadakan tahun depan, mungkin akhir tahun.

Kali terakhir PRN Sarawak diadakan ialah pada 18 Disember 2021. Pada 18 Disember 2026, genap lima tahun tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan GPS sekarang akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang DUN pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022.

Ini bermakna, PRN boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027. Tetapi di bawah Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, memperuntukkan lanjutan selama 60 hari mesti diadakan pilihan raya daripada tarikh tamat tempoh DUN.

Bab ini diguna pakai pada PRN12 Disember 2021, setelah tempoh DUN berakhir pada 6 Jun 2021, berikutan penularan COVID-19. Namun dalam perlembagaan itu, sama ada Covid-19 atau tidak, itulah termaktub dalam peraturan.

Ini bermakna, PRN Sarawak akan datang boleh dipanjangkan sehingga Ogos 2027. Hakikatnya perkara ini jarang berlaku kecuali pada 2021. Malah jarang juga pilihan raya diadakan menghampiri tempoh tamat dan kebiasaannya diadakan beberapa bulan lebih awal.

Andai menunggu tempoh matang sehingga 2027, SPR masih ada masa untuk melengkapkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya terutama bagi mewujudkan tambahan 27 kerusi DUN baharu seperti dicadang dan diluluskan pada sidang DUN Isnin lalu.

Tetapi jika benar GPS mahu mengadakan pilihan raya negeri tahun depan, SPR perlu bertindak segera. Ini termasuk meninjau kawasan baru dicadang, dipamerkan cadangan untuk cadangan/bantahan orang awam dan kemudian diwartakan.

Bagaimanapun, tumpuan sudah semestinya terarah kepada penambahan kerusi Parlimen bagi Sarawak dan juga Sabah. Tidak pasti sama ada penambahan itu nanti sempat diguna pakai pada pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana terpaksa melalui Dewan Rakyat.

Perhatian sudah pasti terarah kepada isu sokong atau bantah…. dalam kalangan Ahli Parlimen apabila usul mengenai tambahan kerusi Parlimen dibentangkan di Dewan Rakyat nanti.

Pilihan raya umum ke-16 (PRU16) pula perlu diadakan sebelum Disember 2027, dan tidak mustahil ia diadakan lebih awal, seawal tahun depan 2026.

Kali terakhir PRU diadakan ialah pada 19 November 2022.

Anak punai di atas pagar

Turun ke tanah memakan padi

Kalau hutang wajib dibayar

Kalau janji wajib ditepati

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Membugar dan merekayasa Hari Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.