
PETRA JAYA: Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono, hari ini mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, sempena tamat tempoh perkhidmatannya pada 30 April ini.
Dalam pertemuan tersebut, Raden Sigit merakamkan penghargaan atas kerjasama erat yang terjalin antara Indonesia dan Sarawak sepanjang tiga tahun beliau berkhidmat di sini.
“Kerjasama antara Indonesia dan Sarawak sangat baik, khususnya dalam dua tahun terakhir ini di mana banyak inisiatif dan aktiviti telah dilaksanakan bersama, terutamanya dalam sektor ekonomi dan sosial budaya,” katanya kepada media selepas pertemuan itu.
Beliau turut menyatakan harapan agar hubungan dua hala ini terus diperkukuh oleh penggantinya kelak.
“Saya akan sampaikan kepada pengganti saya agar meneruskan usaha memperkukuh kolaborasi ini, termasuk memperluaskan potensi di kawasan sempadan,” ujarnya.
Antara perkara yang turut dibincangkan ialah isu keterhubungan wilayah, termasuk cadangan mengaktifkan semula laluan penerbangan antara Pontianak dan Kuching serta potensi laluan ke Balikpapan, Kalimantan Timur, berikutan pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN).
“Premier menyambut baik cadangan untuk meningkatkan keterhubungan antara wilayah Kalimantan dan Sarawak, dan kami berharap perkara ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat,” jelasnya.
Raden Sigit juga menekankan kepentingan kerjasama dalam sektor tenaga, termasuk pembekalan tenaga elektrik hidro dari Sarawak ke Kalimantan Barat, serta sumbangan Sarawak terhadap keperluan tenaga di Kalimantan Utara.
“Peningkatan kerjasama dalam sektor tenaga, termasuk bekalan tenaga elektrik hidro dari Sarawak ke Kalimantan Barat, merupakan aspek strategik yang memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak,” tambah beliau.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan yang diberikan semasa pelaksanaan Pilihan Raya Indonesia tahun lalu yang berlangsung dengan lancar dan aman.
“Dengan adanya 52 pusat mengundi di Sarawak, kelancaran proses itu tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama erat pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Raden Sigit dijadualkan kembali ke Jakarta dan akan menyambung tugas di Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia selepas tamat tempoh perkhidmatan beliau di Sarawak.