
NEW DELHI: Pihak berkuasa di New Delhi mengarahkan penutupan Taman Zoologi Nasional kepada pengunjung bermula Sabtu selepas dua bangkai burung disahkan positif selesema burung, lapor Xinhua yang memetik pegawai tempatan.
Menurut pihak berkuasa, pegawai zoo juga diarahkan mematuhi protokol influenza avian.
Laporan menyatakan bahawa selepas kematian beberapa ekor burung seperti burung botak padi dan sekendi di taman itu, sampel rutin daripada bangkai burung dihantar ke Institut Keselamatan Tinggi Penyakit Haiwan Nasional (ICAR) pada 27 Ogos, dan virus H5N1 disahkan dalam dua sampel.
Selesema burung ialah penyakit pernafasan yang sangat berjangkit dan teruk dalam kalangan burung akibat virus influenza H5N1, dan dalam keadaan tertentu boleh menjangkiti manusia.– Bernama-Xinhua