TANGGUNGJAWAB pihak majlis untuk membersihkan taman-taman dan melengkapinya dengan pelbagai kemudahan.
KETIKA pandemik melanda dunia pada 2020, memang wujud kekecohan dan kebimbangan dalam kalangan semua orang. Sama halnya di Sarawak, penduduk menjadi tidak menentu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula Mac tahun berkenaan.
Belum pernah ada pengalaman PKP besar-besaran seperti itu dengan majoriti penduduk terkurung di rumah dengan hanya seorang isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan lain.
Dalam tempoh beberapa bulan PKP, tahap stres ramai orang mencapai klimaks. Apabila taman-taman rekreasi mula dibuka kepada umum, orang ramai mula membanjiri lokasi-lokasi berkenaan untuk melepaskan tekanan dan beriadah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang mengiktiraf taman-taman ini sebagai satu daripada aspek penting gaya hidup masa kini.
Sekarang ini Covid-19 bukan lagi ancaman hebat kepada orang ramai tetapi kata Lo, taman-taman kekal sebagai lokasi penting dalam kehidupan orang ramai.
JADI AMALAN RUTIN
“Mereka menjadikannya amalan untuk membawa anak-anak ke taman dan menjadi rutin warga usia emas pula untuk berjalan-jalan dan bersenam di taman,” kata beliau.
Di Padawan, taman terbesar adalah Tebingan Batu Kawa, diikuti oleh Taman Rekreasi Kota Padawan di Batu 10 yang amat popular dan kerap dikunjungi keluarga kerana letaknya berhampiran dengan beberapa kampung.
Sementara itu Taman Batu Kawah pula lebih popular dalam kalangan mereka yang suka berjoging, terutama pada waktu pagi dan petang.
Kata Lo, terdapat beberapa taman rekreasi kecil yang lain seperti di Jalan Kong Pin, estet Kampung Bayan, Taman Wawasan di Jalan Arang, Flora Indah di Stapok dan Semabah.
Bagaimanapun kata beliau, satu kekangannya adalah penyelenggaraan taman-taman ini kerana hanya ada dana minimum untuk menguruskannya.
“Untunglah ada banyak organisasi kejiranan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ketua Rukun Tetangga, Sukarelawan Rakyat (RELA), persatuan masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu,” tambah beliau.
Menurut beliau lagi, ada juga sukarelawan yang bergilir-gilir membersihkan taman-taman ini, manakala Majlis Perbandaran Padawan (MPP) membantu dengan mendapatkan kontraktor untuk menangani isu-isu besar seperti naik taraf taman, membersihkan parit dan longkang serta menaik taraf kemudahan permainan kanak-kanak serta membaiki kemudahan-kemudahan yang rosak.
JANGAN BINA TUGU SEMBAHAN
Lo juga mengingatkan orang awam agar tidak membina tugu sembahan di taman-taman kerana ia adalah lokasi untuk orang ramai datang dan bersantai, bukannya bersembahyang. Terdapat beberapa rumah sembahan yang boleh didatangi, kata beliau.
Beliau melahirkan rasa terkilan terhadap sikap sesetengah orang yang masih membuang sampah di taman atau membakar barangan di sana.
Baru-baru ini, Lo telah melawat satu taman di Semabah selepas menerima aduan daripada penduduk setempat tentang orang luar yang datang berehat pada waktu petang atau makan tengah hari di taman berkenaan dan meninggalkan sampah sesuka hati sehingga mengundang anjing-anjing liar, tikus serta lipas ke kawasan berkenaan.
Lebih teruk apabila ada segelintir orang yang tidak mempunyai kesedaran sivik, membuang bangkai kucing dan bangkai anjing di kawasan taman.
Kata Lo, semua orang dialu-alukan di taman, terutama mereka yang tidak mempunyai tempat untuk pergi semasa rehat tengah hari seperti pekerja penghantaran makanan ataupun pemandu lori. Bagaimanapun, beliau berharap mereka akan mengakalkan kebersihan taman-taman ini demi penduduk sekitar.
BUANG SAMPAH DENGAN TERATUR
Beliau dimaklumkan segelintir penduduk akan membersihkan taman-taman ini tetapi ini tidak adil untuk mereka. Ramai penduduk tidak mahu mendepani orang-orang luar ini kerana bimbangkan terjadi perkara tidak diingini.
Namun kata Lo, memandangkan taman ini milik kejiranan berkenaan, mereka berhak untuk memberitahu secara diplomatik agar mereka yang berkenaan membuang sampah dengan teratur.
Ditanya tentang penduduk sekitar yang ingin membawa anjing mereka bersiar-siar di taman, beliau berkata mereka perlu menggunakan tali khas untuk anjing masing-masing demi orang lain yang takut terhadap haiwan berkenaan.
Beliau juga bersetuju untuk memasang lebih banyak lampu di taman-taman bagi mengelakkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab berkumpul di taman-taman pada waktu malam dan menimbulkan masalah di sana.
Loh mengingatkan orang ramai tentang penggunaan tong sampah yang disediakan kerana beliau mendapati ada segelintir yang membuang pelitup muka sesuka hati di taman.
“Anggaplah kemudahan awam itu seperti rumah anda sendiri. Sudah tentu anda tidak akan berbuat demikian jika di rumah sendiri, betul atau tidak?,” soal beliau.
Oleh CONNIE CHIENG