
SIBU: Taman Rimba Sebangkoi di Sarikei bakal melalui fasa pembangunan semula bagi menjadikannya sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi yang lebih menarik dan mampan.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datuk Len Talif Salleh, berkata usaha tersebut sedang digerakkan oleh Jabatan Hutan Sarawak selepas penemuan pelbagai spesies flora dan fauna baharu menerusi ekspedisi penyelidikan yang dijalankan baru-baru ini.
Menurutnya, hasil ekspedisi itu menunjukkan Taman Rimba Sebangkoi sememangnya kaya dengan khazanah semula jadi yang bernilai tinggi dan berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan utama di jajaran Lebuhraya Pan Borneo.
“Selama ini kawasan Sebangkoi diuruskan oleh Majlis Daerah Sarikei, namun sambutannya tidak begitu menggalakkan.

Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) juga pernah membangunkan beberapa fasiliti di situ, tetapi ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Ekspedisi Saintifik Taman Rimba Sebangkoi 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Tambahnya, Jabatan Hutan kini telah mengemukakan kertas cadangan kepada kementeriannya bagi mewartakan kawasan itu sebagai Hutan Ameniti atau Rizab Semula Jadi.
“Apabila proses pewartaan ini selesai, ia akan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk membangunkannya secara menyeluruh termasuk dari segi prasarana, kemudahan, pengurusan serta interpretasi sumber alam seperti spesies tumbuhan dan hidupan liar yang terdapat di situ,” ujarnya.
Len menjelaskan, pembangunan semula Taman Rimba Sebangkoi itu juga akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya di kawasan Sarikei, selain menjadi kebanggaan rakyat Sarawak keseluruhannya.
“Seminar hari ini turut melibatkan pelbagai agensi serta Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat supaya mereka dapat memahami nilai khazanah alam yang ada di Sebangkoi serta bersama-sama menguruskan aset ini untuk kebaikan bersama,” katanya.
Beliau optimis dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, Taman Rimba Sebangkoi akan berubah wajah menjadi kawasan rekreasi yang ceria dan berdaya tarikan tinggi.
“Insya-Allah, dalam dua atau tiga tahun lagi, kita akan dapat melihat keceriaan baharu Hutan Rimba Sebangkoi ini menjadi kebanggaan orang Sarikei dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sarawak,” tambahnya.
Hadir sama pada seminar itu ialah Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad.
Oleh Tarani Lanting