LIMBANG: Serangga berbisa menganggu pengunjung beriadah di Lapangan Rekreasi Limbang bersama keluarga.
Ini merupakan luahan orang ramai yang bimbang selepas berlaku insiden beberapa pengunjung yang disengat serangga berbisa ketika beriadah di situ.
Ini disebabkan keadaan taman rekreasi itu yang tidak diselenggara menyebabkan ia menjadi sarang dan habitat serangga berbisa.
Seorang peniaga aiskrim Norliza Zainal 30-an berkata beliau pernah disengat lebah ketika mengunjungi taman itu awal tahun ini bersama anaknya.
“Memang risaulah, lebih-lebih lagi ketika membawa anak bersama. Nasib baik saya yang disengat,kalau anak saya tidak tahu apa yang akan berlaku,” katanya kepada media, hari ini.
Menurutnya, Lapangan Rekreasi Limbang merupakan kawasan riadah dan tumpuan untuk orang ramai beriadah pada waktu petang.
“Dulu memang saya berniaga aiskrim di sini, tetapi belum ada insiden disengat lebah berlaku.
“Bagaimanapun keadaan taman awam yang kurang diselenggara dan agak semak,memang mengundang kerisauan kepada pengunjung yang datang,”katanya.
Seorang lagi pengunjung Alice Lim 40-an turut berkongsi insiden disengat serangga berbisa baru-baru ini
Katanya, kejadian tidak dijangka itu berlaku ketika beliau beriadah dan berjogging di sepanjang taman tersebut.
“Mula-mula tak perasan ada serangga berbisa, pulang ke rumah habis tangan dan kaki lebam dan kemerahan.
“Memang tak sangka insiden disengat serangga di taman tersebut kerana Lapangan Rekreasi merupakan kawasan tumpuan,”katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa tempatan dapat menyelenggara kawasan berkenaan bagi mengelak menjadi ‘sarang’ haiwan berbisa lain seperti ular.
Sementara itu Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) ketika dihubungi hari ini menjelaskan kerja penyelenggaraan Lapangan Rekreasi Limbang masih dibawah pihak kontraktor yang diamanahkan menyelenggara taman itu sebelum ini sehingga hujung tahun ini.
Katanya, taman awam berkenaan belum diserahkan secara rasmi kepada pihak MDL.
“Bagaimanapun, kita telah memberi amaran dan teguran beberapa kali kepada kontraktor terbabit demi keselamatan orang ramai, namun kurang mendapat kerjasama yang baik daripada kontraktor terbabit,”dedahnya.
Katanya, aduan mengenai kejadian itu turut dimaklumkan kepada Jabatan Landskap Negara agar tindakan berkaitan akan diberikan kepada kontraktor terbabit.
Oleh Adeng Edrus