SIMANGGANG: Para penghuni sesebuah taman perumahan dinasihat agar tidak terlalu bergantung kepada pihak Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjaga keselamatan rumah dan harta benda mereka.
Ini kerana PDRM tidak dapat menjaga semua kawasan dalam satu masa dengan para penghuninya perlu mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah tersebut iaitu menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS).
“Penghuni sesebuah taman perlu bertindak menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan seterusnya memohon menubuhkan SRS daripada pihak jabatan kerajaan yang berkaitan.
“Setelah diluluskan, SRS itu perlu merekrut anggota dengan aktiviti rondaan boleh dilakukan dalam penempatan masing-masing apabila mereka sudah bersedia,” kata Ketua Peronda SRS Zon 1 Kampung Muhibbah, Ramli Abu Sera.
Beliau memberitahu kehadiran SRS dalam sesebuah penempatan akan menggugat niat kumpulan atau individu tertentu untuk melakukan aktiviti jenayah terhadap kediaman serta harta benda mereka.
“Dengan adanya SRS maka kita secara tidak langsung akan dapat membantu polis membenteras kegiatan jenayah pecah rumah dan kecurian harta benda di dalam penempatan masing-masing.
“Bagaimanapun pastikan SRS ‘tidak tidur’ jika sudah ditubuhkan. Para penghuni perlu aktif menggerakkan SRS masing-masing untuk memberi isyarat kepada penjenayah agar tidak melakukan kegiatan di penempatan mereka,” katanya.
Terdahulu Ramli bersama enam anggotanya telah bertindak melaksanakan Program Lan Kita Meronda di sekitar penempatan Zon 1 Kampung Muhibbah dekat sini malam kelmarin.
Turut menyertai rondaan berkenaan adalah Pegawai Perpaduan Bahagian Sri Aman, Ahmad Noorkamal Abdul Malek dan Penolong Pegawainya, Suzie Masin.