Bintulu pada asal hanya sebuah kampung nelayan yang dikenali dengan hasil lautnya seperti udang, cencaluk dan belacan, kini muncul sebagai sebuah bandar yang menempatkan pelbagai peluang pekerjaan dengan pertumbuhan pelbagai industri berat dan industri minyak dan gas di bandar ini.
Kini Bintulu menjadi buah mulut berikutan memiliki dua buah pelabuhan laut dalam iaitu Pelabuhan Bintulu dan juga Pelabuhan Samalaju.
Di samping industri minyak yang berkembang pesat di bandar ini, Bintulu menjadi pilihan para pelabur dari dalam mahupun luar negara untuk bertapak di kawasan perindustrian Kidurong dan juga Taman Perindustrian Samalaju.
Namun demikian, di sebalik Bintulu yang gah dengan sebuah bandar industri, terdapat sebuah Taman Negara yang dikenali sebagai Taman Negara Similajau bersebelahan dengan pertapakan industri ini sini.
Taman Negara Similajau telah diwartakan pada tahun 1978 diuruskan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) pada 1 Disember tahun yang sama.
Di tengah kesibukan kota, taman negara ini juga mampu menyediakan percutian hujung minggu yang hebat dan memberikan pengalaman berharga buat pengunjung.
Taman Negara Similajau
Taman Negara Similajau terletak sekitar 45 minit dari pusat Bandar Bintulu. Perjalanan ke taman ini akan melintasi sebuah perkampungan yang dikenali sebagai Kampung Batu Mandi.
Uniknya di Taman Negara ini juga terdapat salah satu kawasan pantai dan antara yang tercantik di Malaysia dengan pasir pantai putih bersih yang tidak tercemar dan pantai berbatu yang menghadap Laut China Selatan.
Sementara itu, Taman Negara Similajau juga meliputi kawasan seluas 7,064 hektar hutan dara termasuklah tepi pantai itu bermula dari Sungai Likau di selatan hingga ke Sungai Similajau di utara.
Merentangi sepanjang 30km, ia penuh dengan flora dan fauna dan menjanjikan pengalaman menarik menjelajah berbatu-batu pantai kosong.
Fauna daratan di taman ini mempunyai 24 spesies mamalia yang direkodkan, seperti ungka, langur berbelang dan kera ekor panjang.
Satu reptilia penting yang menjadi penghuni dan dijumpai di sini adalah Buaya Air Tawar.
Taman Negara ini juga telah merekodkan 230 spesies burung, termasuk Burung Kenyalang dan burung-burung air yang berhijrah seperti Storms Stork.
Malah jika anda bernasib baik, anda mungkin boleh melihat ikan lumba-lumba berenang di kalangan ombak. Kadangkala, penyu naik ke darat untuk bertelur.
Taman ini menjanjikan satu kelainan dan keunikannya bukan sahaja dari segi kemudahan yang ditawarkan malahan menyimpan banyak khazanah alam semula jadi yang amat berharga yang boleh diterokai oleh pengunjung-pengunjungnya.
Dalam pada itu, kawasan Similajau merangkumi kawasan 8,996 hektar hutan dara pinggir pantai bermula dari Sungai Likau di selatan hingga ke Sungai Similajau di utara, termasuk 7,064 hektar garisan pantai (kawasan darat) dan 1,932 hektar kawasan laut serta sebahagian daripada kawasan pemeliharaan untuk pelbagai spesies hidupan liar dan spesies tumbuhan.
Pengalaman di Taman Negara Similajau
Di Taman Negara Similajau terdapat 10 hentian yang pasti memberikan pengalaman berbeza iaitu Golden Beach, Turtle Beach I & II, Batu Anchau, Sebubong Pool, Circular Trail dan Education Trail.
Sementara itu tiga khazanah hutan utama dan paling berharga di taman itu antaranya hutan pantai, hutan kerangas, hutan `Mixed Dipterocarp’ serta hutan paya bakau.
Hidupan liar yang terdapat di taman ini pula adalah ikan lumba-lumba, penyu, belangkas dan buaya air masin di Sungai Likau juga satu reptilia penting yang dijumpai di sini adalah Buaya Air Tawar.
Untuk merasai pengalaman di Taman Negara Similajau, pengunjung juga boleh bermalam di taman ini.
Terdapat beberapa pilihan tempat penginapan disediakan seperti Rumah Rehat Kenamaan (VIP), Pandu Masuk Chalet (Drive In Chalet), Asrama 18 bilik dan tapak perkhemahan bagi mereka yang ingin mendirikan khemah di kawasan taman, tempat mandi awam dan pondok rehat.
Oleh itu, jangan lepaskan peluang anda untuk datang berkunjung ke Taman Negara Similajau yang pasti membekalkan pengalaman manis dalam hidup anda.