
MIRI: Taman Negara Bukit Lambir hari ini melakar sejarah apabila meraikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun sejak ia digazetkan pada 1975.
Sambutan itu menandakan setengah abad usaha pemeliharaan khazanah alam semula jadi yang menjadi kebanggaan negeri Sarawak.
Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan (SFC), Abang Arabi Abang Aimran, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian ini sambil menegaskan bahawa sambutan Jubli Emas melambangkan dedikasi dan kerjasama semua pihak dalam melindungi keunikan biodiversiti dan memulihara ekosistem hutan hujan tropika.
“Jubli Emas ini melambangkan setengah abad usaha bersama dalam melindungi biodiversiti, menyokong pendidikan alam sekitar, penyelidikan saintifik serta menjadikan Bukit Lambir sebagai destinasi rekreasi dan ekopelancongan untuk rakyat dan dunia,” ujar beliau.


Majlis perasmian sambutan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil.
Justeru, seiring dengan pengiktirafan sebagai Taman Warisan ASEAN (AHP), SFC komited memastikan kelestarian hutan hujan tropika unik ini terus diwarisi generasi akan datang.
Pelbagai aktiviti turut memeriahkan sambutan tersebut, antaranya pertandingan bercerita dan melukis poster, sukan rakyat, ceramah oleh agensi kerajaan, serta gerai kraftangan, hasil pertanian dan makanan tempatan.
Oleh Adum Liu