
SIBU: Taman Komuniti YMCA yang akan dibina dengan peruntukan RM350,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bakal menjadi taman komuniti pertama memberikan kemudahan kepada penduduk di kawasan sekitar Jalan Brooke Drive dan Jalan Tun Abang Haji Openg.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, pembinaan taman berkeluasan kira-kira 1,297 meter persegi itu, merupakan satu pencapaian bermakna yang digerakkan oleh komuniti dan dijangka membawa manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat.
“Saya amat berbesar hati dapat berada di sini hari ini sempena majlis pecah tanah taman komuniti YMCA untuk bersama-sama menyaksikan satu pencapaian bermakna yang digerakkan oleh komuniti dan membawa manfaat berpanjangan kepada masyarakat,” katanya semasa berucap pada majlis pecah tanah Taman Komuniti YMCA di Lorong Terap di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Sibu (MPS) atas sokongan dan kerjasama padu sepanjang pelaksanaan projek berkenaan, bermula daripada peringkat perancangan, penyelarasan hingga ke pelaksanaan.
“Bimbingan serta bantuan pihak majlis, termasuk penglibatan penduduk setempat, telah memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran projek ini demi manfaat komuniti,” ujarnya.
Katanya, Taman Komuniti YMCA menjadi bukti kerjasama berkesan antara wakil rakyat, pihak berkuasa tempatan dan sebuah organisasi masyarakat yang dihormati.
“Sejak awal, tumpuan kami bukan sekadar membina sebuah taman, tetapi memastikan ia digunakan secara aktif, diselenggara dengan baik dan mampu memberikan nilai jangka panjang kepada komuniti,” ujarnya.
Chieng memberitahu, perbincangan dengan YMCA Sibu telah bermula seawal tahun 2023 dan dengan sokongan Majlis Perbandaran Sibu, YMCA bersetuju untuk membantu mengurus serta mengguna pakai ruang tersebut sebagai sebuah hab komuniti yang dinamik.
“Walaupun bersaiz sederhana, taman ini akan menyediakan ruang yang mesra untuk aktiviti rekreasi, senaman dan interaksi sosial, di samping menggalakkan kanak-kanak serta keluarga meluangkan masa di luar dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat,” ujarnya lagi.
Katanya, taman ini juga berpotensi menjadi lokasi penganjuran program bermakna melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, sekali gus memperkukuh ikatan komuniti dan kesejahteraan sosial.
Beliau berharap Taman Komuniti YMCA dapat berkembang menjadi ruang yang meriah, inklusif dan disayangi oleh semua lapisan masyarakat.
Turut hadir Presiden YMCA Sibu, Senator Robert Lau Hui Yew serta naib presiden, Datuk Janet Lau, Pengerusi MPS, Clarence Ting serta yang lain.
Oleh Akun Giman