BARU-baru ini Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengumumkan bahawa, Sarawak kini berada dalam fasa penyediaan dokumen bagi membuat pencalonan Taman Geo Delta Sarawak (SDGp) sebagai Geopark Global UNESCO yang pertama di Sarawak.
Kawasan itu termasuk kawasan daratan dan air meliputi kawasan Taman Negara Santubong di Kuching, Bau, Padawan dan sebahagian kecil kawasan Serian yang akan dikenali dan diwartakan sebagai kawasan Taman Geo Delta Sarawak (SDGp) yang mempunyai keluasan 3,112 kilometer persegi.
Sudah pasti terdapat rasional Sarawak mahukan sebuah Taman Geo Delta Sarawak sebagai Taman Geo Global UNESCO. Keistimewaan dan keunikan dari segi morfologi delta, lembangan Sungai Sarawak, landskap batuan, warisan biologi, warisan geologi, warisan budaya dan sebagainya.
Apabila mendapat pengiktirafan tersebut, bermakna fokus kepada kawasan hab pelancongan akan dipergiat yang akan ada pembinaan jalan yang lebih baik dan kemudahan infrastruktur yang lebih teratur. Hal ini akan dapat meningkatkan ekonomi tempatan memastikan kelestarian alam semulajadi dan pengurusan mampan kawasan berkepentingan negeri, negara dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Bagi tujuan itu, rombongan Awang Tengah telah membuat lawatan penanda aras ke Geopark Global UNESCO di Pulau Jeju, Korea Selatan baru-baru ini. Objektif lawatan ini adalah untuk mempelajari pengurusan SDGp dalam konteks aktiviti penglibatan komuniti, tadbir urus, penyelidikan, pemantauan, pendidikan, promosi, pembangunan sosioekonomi, geopelancongan dan sebagainya.
Pemilihan Pulau Jeju
Di Korea mempunyai lima UNESCO Global Geopark yang terletak di Jeonbuk, Chengsong, Hantangang, Mudeungsan dan Pulau Jeju. Namun, Pulau Jeju dipilih oleh rombongan Sarawak kerana pencapaian sebagai Rizab Biosfera, Warisan Semula jadi Dunia dan Geopark Global. Pencapaian Triple Crown memperlihatkan penyertaan masyarakat setempat dan menjadi tempat pelancongan yang terkenal dunia. Pada masa sama, Sarawak berhasrat untuk mempelajari khazanah alam sekitar dapat dipelihara dan mampu pula meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat.
Sarawak mempunyai 12 daripada 28 tapak geo yang mempunyai nilai antarabangsa, lapan tapak geo mempunyai nilai nasional dan lapan lagi tapak mempunyai nilai tempatan. Nilai warisan lebih ratusan tahun dan banyak kriteria yang djangka mampu dipenuhi oleh Sarawak. Namun difahamkan, Sarawak telah bersedia dalam pembinaan infrastruktur bagi menghubungkan kawasan dalam lingkungan SDGp dan keyakinan ini amat tinggi hingga dimasukkan rancangan infrastruktur ini dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Taman Geo Global UNESCO
Di Indonesia, sudah ada 10 Global Geopark termasuk di Batur, Belitong, Ciletuh-Palabuhanratu, Gunung Sewu, Ijen, Maros Pangkep, Merangin Jambi, Raja Ampat, Rinjani-Lombok, dan Toba Caldera. Di China pula memiliki 41 UNESCO Global Geopark. Sepanyol mempunyai 16 buah, manakala Jepun mempunyai 10 dan Jerman pula mempunyai lapan.
Perkara ini menunjukkan kewujudan UNESCO Global Geopark bukan sesuatu yang asing dan terpencil dalam konteks keperluan warisan dunia. Geopark Global UNESCO adalah program yang dilaksanakan oleh UNESCO. Tujuan penubuhan itu adalah untuk melindungi, melestari dan mempromosikan kekayaan alam dan budaya di kawasan geologi yang unik di seluruh dunia.
Kepentingan Geopark Global UNESCO
Terdapat beberapa kepentingan geopark global. Antaranya ialah menjadi pusat pemuliharaan alam dan warisan budaya sebagai alat untuk melindungi kekayaan alam dan warisan budaya yang unik di kawasan geologi yang ditetapkan. Melalui pengiktirafan aspek nilai geologi, ekologi dan budaya yang unik dari suatu wilayah, Geopark ini mampu membantu menjaga keberlanjutan ekosistem dan warisan budaya yang ada.
Sebagai contoh, Geopark Haute-Provence di Perancis memiliki tapak fosil yang penting dan mempertahankan peninggalan sejarah manusia yang berusia ribuan tahun. Dengan pengiktirafan antarabangsa daripada UNESCO, Geopark ini melindungi dan mempromosikan warisan alam dan budaya tersebut.
Geopark Global UNESCO juga menyediakan platform yang ideal untuk pendidikan dan penelitian mengenai bumi dan sejarahnya. Geopark ini menyediakan akses yang lebih baik ke pengetahuan geologi, sejarah alam, dan keanekaragaman. Dalam konteks ini, Geopark dapat menjadi sumber pendidikan yang berharga bagi siswa, peneliti, dan masyarakat umum. Misalnya, Geopark Burren dan Cliffs of Moher di Ireland adalah contoh yang baik. Geopark ini menyelenggarakan program pendidikan melibatkan siswa dan pengunjung dalam kegiatan mentafsirkan sumber alam semula jadi, memberikan pemahaman lebih baik tentang pentingnya pelestarian dan perlindungan persekitaran.
Ia juga menjadi pusat pembangunan yang berpanjangan dengan mengintegrasikan konservasi alam dan budaya dengan pembangunan ekonomi setempat. Apabila mempromosikan aktiviti pelancongan berlanjutan, Geopark dapat memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat dan membantu meningkatkan kesedaran masyarakat akan pentingnya menjaga sumber daya alam yang tidak ternilai.
Contohnya adalah Geopark Papuk di Croatia. Geopark ini membantu mengembangkan pelancongan secara berterusan di wilayah tersebut, mencipta peluang kerja baru dan mendukung pengembangan ekonomi tempatan melalui pembangunan infrastruktur, sektor pelancongan dan produk tempatan.
Pengiktrafan antarabangsa
Apabila terdapatnya geopark Global UNESCO, maka ia merupakan suatu pengiktirafan antarabangsa terhadap kawasan geologi yang memiliki nilai penting dalam konteks ilmu pengetahuan, pendidikan dan kebudayaan. Hal ini akan meningkatkan profil dan keterlihatan suatu daerah, yang pada akhirnya dapat membantu meningkatkan pelancongan dan pembangunan ekonomi.
Hal ini dapat meningkatkan daya tarik pelancong dan minat pelabur, serta memperluas peluang kerjasama antarabangsa dalam bidang pelestarian dan pengurusan sumber alam. Contoh pengiktirafan ini dapat ditemukan di Geopark Shetland di Scotland, yang mendapat penghargaan dari UNESCO pada 2005.
Dengan ada geopark Global UNESCO ini maka tercetuslah kerjasama dan pertukaran serta jaringan kerjasama antarabangsa di seluruh dunia. Pertukaran ilmu pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik dapat dilakukan untuk meningkatkan lagi aspek konservasi, pendidikan dan pembangunan berterusan. Ia juga memberi kesan positif yang signifikan dalam pelestarian warisan alam dan budaya, peningkatan pendidikan dan pengetahuan, pemberdayaan ekonomi setempat, pengiktirafan antarabangsa dan pemuliharaan sumber alam di kawasan geologi yang ditetapkan.
Sekiranya tidak lama lagi terdapat pengisytiharan Geopark Sarawak sebagai Geopark Global UNESCO, maka ini akan menjadi ke-195 taman geopark di dunia yang terletak di 48 negara. Setakat ini, cuma Kota Kinabalu dan Langkawi mewakili Geopark Global UNESCO yang ada di negara ini.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)