
PETRA JAYA: Pembangunan Taman Botani Sarawak bakal menjadi antara pemacu utama usaha menjadikan Kuching sebuah bandar rendah karbon yang menyokong agenda bandar lestari dan pintar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif tersebut dirangka menerusi dua komponen utama yang memberi penekanan kepada pemuliharaan biodiversiti serta penghubung laluan warisan bandar.
Menurut beliau, komponen pertama melibatkan pemerkasaan fungsi taman botani melalui penanaman flora tempatan bagi mengekalkan dan memperkayakan biodiversiti, manakala komponen kedua pula merangkumi pembangunan laluan warisan yang menghubungkan kawasan sekitar bandar.
“Laluan berkenaan akan bermula dari Muzium Kucing Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hingga ke Taman Reservoir, sekali gus menyediakan ruang rekreasi yang mesra alam untuk penduduk tempatan dan pelancong.
“Pendekatan ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi Sarawak, malah menyokong usaha ke arah kelestarian bandar rendah karbon yang selari dengan inisiatif bandar pintar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Berjalan Untuk Kesihatan Bersama Premier Sarawak di Taman Botani Sarawak, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, pembangunan tersebut dijangka memperkukuh peranan Kuching sebagai ibu negeri yang mengintegrasikan pembangunan hijau dengan perancangan bandar moden.
Jelas beliau, projek berkenaan telah pun dimulakan dan penganjuran program hari ini turut bertujuan meninjau keadaan kawasan taman botani serta aspek penyelenggaraan yang sedang dilaksanakan.
Tambahnya, beberapa badan berkanun termasuk Pusat Penyelidikan Biodiversiti Sarawak dan Jabatan Hutan Sarawak akan dilibatkan secara langsung dengan menjadikan kawasan itu sebagai ‘anak angkat’ bagi tujuan pengurusan dan pemuliharaan jangka panjang.
Terdahulu, Premier Sarawak bersama dif kenamaan menyertai aktiviti berjalan sejauh sekitar 2.5 kilometer di sekitar Taman Botani Sarawak bersama penjawat awam negeri.
Beliau turut diberi taklimat mengenai perancangan pembangunan Taman Botani, termasuk projek penghubung laluan warisan, yang disampaikan oleh Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara, Ramzi Abdullah.
Oleh Shahrul Qaizat