
TAMAN Awam Kubu Hose sememangnya tidak asing bagi warga Marudi. Terletak di atas bukit yang menghala ke Sungai Baram, lokasi strategik ini menawarkan landskap yang indah dan menjadi antara tarikan utama di pekan Marudi yang kini pesat membangun.
Lawatan ke Marudi pastinya tidak lengkap tanpa singgah di taman rekreasi ini, yang hanya terletak kira-kira dua kilometer dari pasar Marudi.
Bagi penduduk tempatan, menyebut sahaja nama Taman Awam Kubu Hose sudah cukup menggambarkan tempat santai hujung minggu yang sesuai untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

Persekitaran semula jadi yang masih dikekalkan menjadi daya tarikan utama kepada pengunjung.
Di samping itu, taman ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak, fasiliti awam yang berkualiti, serta kawasan parkir yang selesa.
Menambah daya tarikan taman ini ialah pemandangan menghadap Sungai Baram yang berlatarbelakangkan bangunan bersejarah, Kubu Hose.

Kubu ini merupakan tinggalan era pemerintahan Rajah Brooke dan kini dijadikan Muzium Wilayah yang menyimpan pelbagai khazanah seperti tekstil tempatan, manik, ukiran kayu, serta barangan upacara termasuk topeng kayu yang digunakan oleh masyarakat tempatan.
Bagi penggemar aktiviti fizikal ringan, taman ini juga menyediakan laluan joging yang tenang dan nyaman, sesuai untuk mereka yang mahu menghirup udara segar pada waktu pagi atau petang.
Kedudukannya yang berhampiran dengan pusat bandar menjadikan taman ini pilihan utama untuk aktiviti riadah, terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
Seorang pengunjung tetap, Supardi Hamden, 38, meluahkan rasa teruja kerana taman ini sentiasa kelihatan bersih dan terjaga.
“Persekitaran taman ini memang bersih dan indah. Kemudahan asas seperti tempat letak kereta dan tandas awam turut disediakan. Saya berharap pihak berkuasa dapat menambah lagi kemudahan untuk pengunjung, memandangkan taman ini sangat popular dalam kalangan golongan muda yang gemar bersantai setiap hujung minggu,” katanya.
“Apa yang paling menarik, kalau kita ke puncak bukit Taman Kubu Hose pada 5.00 atau 6.00 petang, kita boleh menyaksikan keindahan matahari terbenam yang sangat memukau,” tambahnya.

Walaupun taman ini telah berusia, namun ia tetap menjadi khazanah berharga buat warga Marudi. Ia wajar dipelihara sebagai ruang rekreasi dan warisan budaya yang harus dijaga untuk generasi akan datang.
Bagi yang mencari ketenangan dan ingin meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, Taman Awam Kubu Hose pastinya merupakan destinasi yang ideal.
Oleh Jiku Juguong