Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Taman Awam BDC berwajah baharu, lebih mesra komuniti
  • TEMPATAN

Taman Awam BDC berwajah baharu, lebih mesra komuniti

Utusan Sarawak 7 hours ago
DATO Wee Hong Seng bercakap kepada media sempena lawatan tapak ke Taman Awam BDC, menghargai sokongan KPKT dan Jabatan Landskap Negara terhadap inisiatif hijau MBKS.

KUCHING: Taman Awam BDC yang dinaik taraf kini tampil dengan wajah baharu, lebih hijau, selamat dan mesra komuniti hasil pelaksanaan kerja penambahbaikan di bawah Program Naik Taraf Taman Awam anjuran Jabatan Landskap Negara (JLN) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, siapnya projek tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) untuk mewujudkan bandar yang menggalakkan gaya hidup sihat, bahagia dan inklusif.

RAKAM KENANGAN… Dato Wee Hong Seng bergambar bersama Ahli Majlis, pegawai MBKS selepas selesai lawatan tapak ke Taman Awam BDC yang telah dinaik taraf.

“Projek ini mencerminkan komitmen berterusan MBKS dalam memastikan setiap taman awam di bandar raya ini menjadi ruang riadah yang selamat, bersih dan mesra semua golongan daripada kanak-kanak hingga warga emas,” katanya ketika berucap sempena lawatan tapak Taman Awam BDC di sini, hari ini.

Menurut beliau, taman tersebut kini dilengkapi laluan pejalan kaki baharu, pondok pintu masuk, papan tanda moden, taman permainan kanak-kanak, kemudahan senaman luar serta landskap segar dengan penanaman pokok dan hiasan baharu.

DATO Wee Hong Seng meninjau kemudahan baharu di Taman Awam BDC, sempena lawatan tapak bersama pegawai dan ahli majlis MBKS, hari ini.

“Segala penambahbaikan ini menjadikan Taman Awam BDC lebih mudah diakses, mesra keluarga dan sesuai untuk semua peringkat umur,” jelasnya sambil mengucapkan penghargaan kepada Cottage Holdings Sdn. Bhd., kontraktor yang menyiapkan projek melalui tender terbuka.

Dato Wee berkata, inisiatif berkenaan sejajar dengan aspirasi MBKS untuk menjadikan Kuching Selatan sebagai Bandar Raya Mesra Kanak-Kanak dan Mesra Warga Emas, selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Ia juga menyokong matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) serta SDG 13 (Tindakan Iklim),” ujarnya.

ANTARA kemudahan baharu di Taman Awam BDC termasuk laluan pejalan kaki, taman permainan kanak-kanak, kemudahan senaman luar dan landskap yang diperindah.

Beliau turut mengingatkan bahawa penyelenggaraan kemudahan awam bergantung kepada sikap dan tanggungjawab bersama komuniti.

“Kita sering berdepan isu vandalisme. Jadi saya menyeru penduduk agar berganding bahu menjaga taman ini. Jika ternampak perbuatan khianat, laporkan segera kepada pihak MBKS. Ini ruang milik bersama yang perlu kita lindungi,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa lantai di kawasan taman permainan dibina menggunakan bahan kitar semula tayar terpakai keluaran tempatan, yang dijangka bertahan antara lima hingga lapan tahun.

“Pendekatan ini bukan sahaja mesra alam malah memberi nilai tambah kepada industri kitar semula tempatan,” katanya.

Mengulas perancangan seterusnya, Dato Wee berkata MBKS akan menumpukan kepada projek penambahbaikan di Taman Sahabat dengan pemasangan pencahayaan baharu serta di Kuching Park sebagai kawasan rekreasi mesra keluarga,

“Setiap taman yang kita pulihkan, setiap pokok yang kita tanam dan setiap ruang awam yang kita segarkan membawa kita lebih dekat kepada visi membina bandar raya yang menjaga rakyat, memelihara alam dan menyemai semangat komuniti,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha menaik taraf taman awam turut menggambarkan keseimbangan antara pembangunan, kemampanan dan inovasi demi memastikan Kuching Selatan kekal bersih, hijau dan sihat untuk generasi akan datang.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Sarawak perkenal dua inisiatif pelancongan antarabangsa utama di WTM London 2025
Next: Teater Muzikal Kumang Keling angkat warisan seni Iban

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.