

DALAM menghadapi situasi sulit atau tekanan, penting untuk kita tetap tenang dan berfikiran waras. Terdapat pelbagai strategi bagaimana kita boleh mengurus keadaan yang mencabar bagi mengelak diri merasa panik dan dapat membuat keputusan yang bijak.
Apapun situasi yang kita hadapi, semua usaha kita hendaklah bermula daripada langkah untuk sentiasa menilai keupayaan diri.
Walaupun kita tidak merasa panik setiap hari tetapi penting untuk kita melengkapkan diri dengan sentiasa membina keupayaan diri.
Apabila kita berupaya, kita akan merasa yakin dan bersedia untuk menghadapi apa jua situasi. Keupayaan ini memberi kekuatan dalaman kita untuk membuat keputusan yang bijak.
Antara usaha yang boleh dilakukan adalah mengambilkira beberapa usaha membina keupayaan diri dengan langkah-langkah berikut:
Tahu Dengan Mengenali Persekitaran
Mengenali persekitaran adalah kemampuan penting untuk menghindari ancaman, mengambil keputusan tepat dan bertindak proaktif. Bijak membaca persekitaran bukan paranoid, tetapi langkah untuk bertindak dengan selamat dan terkawal.
Dengan melatih diri untuk sentiasa mengenali persekitaran, kita akan dapat mengurangi risiko dan meningkatkan kepercayaan diri dalam setiap aktiviti harian kita.
Pada masa yang sama akal kita akan sentiasa aktif berfikir dan memahami lebih mendalam apa yang berlaku di hadapan kita.
Akal Sentiasa Berfikir Untuk Memahami
Akal adalah anugerah terbesar yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk lain. Sebagai manusia, akal kita harus sentiasa diasah, digunakan dan diarahkan ke arah kebaikan. Kita hendaklah sentiasa memaksimumkan potensi akal.
Antara prinsip asas ialah dengan berfikir sebelum bertindak. Ada yang menyatakan kita perlu berfikir 10 kali sebelum berbicara dan 100 kali sebelum bertindak.
Ini kelihatan ekstrem tetapi tidak menggapa jika kita hendak mengasah fikiran kita. Apabila membuat keputusan kita dinasihat untuk tidak emosional. Akal itu umpama pedang, semakin diasah semakin tajam. Gunakanlah untuk kebenaran, bukan kehancuran.
Dengan mengamalkan asas ini, akal digunakan bukan hanya sekadar berfikir, tetapi berfikir dengan tujuan, hikmah dan berimpak. Inilah tanda kaliber seseorang yang akan mempunyai kemampuan dalam merangka strateginya.
Kaliber Dalam Merangka Strategi
Strategi yang baik adalah gabungan halatuju atau visi yang jelas, keupayaan menganalisis dan pelaksanaan yang berkesan.
Untuk menjadi seorang yang berkeupayaan cemerlang (high-caliber) dalam merangka strategi, seseorang hendaklah berpegang kepada prinsip-prinsip di antaranya tujuan yang jelas, mengenali persekitaran, pelan tindakan yang fleksibel dan kebijaksanaan mengatur langkah usahanya.
Dengan ketegasan mengatur langkah, kita bukan sekadar bergerak tetapi kita maju ke hadapan dengan cukup persediaan dan kebijaksanaan.
Seperti pepatah Cina yang mengatakan “Bukan kekuatan, tetapi kecekalan langkah yang membuat gunung terhakis menjadi lembah.”
Pembawaan seperti ini telah membentuk kita menjadi seorang yang berinisiatif untuk mengubah kebiasaan.
Inisiatif Untuk Mengubah Kebiasaan
Strategi berkesan akan mencipta rutin baru dan mengelak kita dari kebiasaan tabiat lama. Mengubah kebiasaan memerlukan lebih dari sekadar kemahuan tetapi ia memerlukan strategi, psikologi, konsistensi dan pendekatan yang praktikal.
Pendekatan yang praktikal diperlukan dalam usaha kita hendak membuat sesuatu yang luar dari kebiasaan kerana setiap hari ada sahaja peluang yang baru boleh kita usahakan.
Kita tidak perlukan kesempurnaan tetapi hanya perlu menjadi lebih baik daripada semalam. Dengan pendekatan ini, perubahan bukan lagi tentang kekuatan kehendak, tetapi tentang kepintaran kita merebut setiap peluang.
Mulakan dengan secara kecil-kecilan dan sentiasa konsisten membina kapasiti diri untuk terus yakin.
Kapasiti Dibina Untuk Merasa Yakin
Keyakinan bukan sekadar emosi kosong tetapi ia adalah persediaan dan persiapan yang nyata. Membina keyakinan yang kukuh dan berasas sebenarnya bersifat dinamik dan kita perlu sentiasa aktif. Rasa takut untuk melakukan sesuatu hehdaklah ditepis dari kotak pemikiran kita.
Dengan membina kapasiti diri, keyakinan menjadi bukan sesuatu yang kita harapkan tetapi sesuatu yang kita bangunkan.
Mulakan juga secara kecil-kecilan dan kumpulkan semua kemenangan kecil dan ia akan memberi momentum keberanian dan kita sentiasa bersemangat untuk terus berjaya.
Berani Supaya Sentiasa Bersemangat
Semangat bukan sekadar perasaan tetapi ia adalah hasil tindakan berani yang konsisten. Untuk mengekalkan kuasa dalaman ini, kita perlu sentiasa mencuba dan bertindak untuk mencipta bukti baru tentang kemampuan diri kita.
Dengan pendekatan ini, semangat bukan sesuatu yang pasif, tetapi ia sesuatu yang aktif dan perlu diciptakan melalui keberanian harian.
Bermula dengan langkah mudah dan kumpulkan setiap kemenangan kecil itu sebagai lambang keberanian kita mencuba.
Pada masa yang sama momentum keberanian akan dapat dikekalkan dalam kehidupan seharian apabila kita sentiasa dapat memantapkan iman dengan meyakini bahawa setiap penentuan datangnya dari Allah SWT.
Iman Sebagai Usaha Mengawal Pembawaan
Kekuatan spiritual amat dituntut dalam diri kita kerana ia dapat mengarahkan kita dalam pembentukan sikap yakin dan positif.
Bagi kita orang Islam, Iman bukan sekadar keyakinan pasif, tetapi disiplin aktif untuk membentuk karakter dan sahsiah diri. Iman mengemudi sistem operasi kehidupan kita.
Setiap ujian harian kita hadapi dengan kawalan melalui iman supaya kita menjadi insan yang baik dan kuat. Sepertimana maksud sebuah hadis: “Mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah daripada mukmin yang lemah” (HR Muslim).
Iman menjadi ‘GPS batin’ yang aktif membimbing setiap tindakan, bukan sekadar hiasan jiwa.
Inilah jihad kita dengan berniat kerana Allah SWT dan mengemudi hidup ini ke arah kecemerlangan yang berterusan.
Jihad Dengan Niat Kerana Allah SWT
Jihad sering disalahertikan sebagai perjuangan fizikal, padahal ianya lebih daripada itu. Apa yang paling istimewa adalah perjuangan spiritual di mana kita berjuang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Perjuangan spiritual turut disamakan menjalankan jihad sejati dengan niat ikhlas:
Jihad terbesar setiap kita adalah melawan diri sendiri setiap hari.
Keikhlasan kita membangun diri dengan ikhlas menjadikan kita dapat memahami jihad secara holistik. Hidup kita dijalani dengan penuh makna dan bukan berjihad secara kekerasan.
Kita berjihad dengan melawan nafsu agar mudah melaksanakan amanah untuk kejayaan dunia dan akhirat.
Amanah Untuk Dunia & Akhirat
Memenuhi amanah atau tanggungjawab harian kehidupan kita adalah sebagai penentuan integriti kita kepada Allah SWT.
Untuk berjaya di dunia dan di akhirat menuntut kita melaksanakan amanah kita mengikut konsep secara holistik dalam Islam yang mencakupi:
Tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT
Kewajiban terhadap sesama manusia
Pemeliharaan alam semesta tanggungjawab akhirat
Amanah bukan beban tapi kehormatan dan sebagai bukti Allah percaya kepada kita. Semakin terpautnya kita menjaga amanah, insya-Allah setiap keputusan kita lebih inklusif dan produktif.
Keputusan Yang Inklusif & Produktif
Keputusan berkualiti bukan hanya mengenai hasil, tetapi tentang proses yang melibatkan semua peringkat kepentingan (inklusif) dan menjamin kesan yang produktif kepada semua.
Kerangka melakukan keputusan yang holistik dapat dilihat indikatornya bahawa kita dapat dipertanggungjawabkan secara duniawi dan ukhrawi.
Kita menanam nilai-nilai rahmatan lil ‘alamin dan membuka pintu kebaikan untuk semua perkara. Sepertimana kenyataan berikut: “Seorang pemimpin yang baik tidak membuat keputusan untuk rakyatnya, tetapi membuat keputusan bersama rakyatnya.” – Saidina Umar Al-Khattab.
Berpegang kepada langkah dan nilai-nilai yang diserapkan dalam diri akan menghasilkan: “Keputusan terbaik adalah yang meninggalkan jejak kebaikan ketika kita sudah tiada. Insya-Allah kita akan menjadi insan dengan taktik bijak dan tidak panik dalam apa jua keadaan sekalipun.
Wallahu Alam Bissawab.