TINGGALKAN DUN… Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meninggalkan bangunan Dewan Undangan Negeri selepas selesai hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuching semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO
KUCHING: Kita perlu mentakrifkan Kanun Tanah untuk manfaat Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Ir. Lo Khere Chiang.
“Kita mahu memastikan hak kedaulatan ruang di atas tanah dan di bawah laut.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pandangan jauh politik dan kepintaran perniagaan dan ekonomi apabila beliau memulakanperbincangan mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menyokong perbahasan RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 yang telah dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dalam Persidangan Hari Kedua Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Kesembilan Belas di sini, semalam
Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2022 yang merangkumi ruang udara Sarawak dan tanah di bawah laut adalah untuk memastikan keperluan untuk mengukuhkan hak Sarawak untuk mengawal ruang udara negeri ini termasuk tetapi tidak terhad kepada spektrum.
Spektrum ruang udara meliputi apa-apa yang melampaui udara seperti kabel kuasa, telekomunikasi dan sebagainya yang mana boleh mendapatkan lesennya untuk manfaat melalui pihak berkuasa perancang negeri (SPA).
Untuk menunjukkan sejauh mana faedah dan kepentingan RUU ini, Telco Digi membayar RM598 juta setiap tahun untuk mendapatkan lesen spektrum ini dan membayar RM 51 juta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setiap tahun.
“Inilah masanya kita harus mengawal apa yang kita miliki untuk memastikan pihak yang menggunakan ruang udara kita membayar kita untuknya.
“Kita juga ingin mengawal pelantar benua untuk penyimpanan karbon supaya sesiapa yang ingin menyimpan apa-apa di bawah laut, dalam takungan gas kami yang telah habis dan ruang lain di dalam pelantar benua kami perlu mendapatkan lesen daripada kami.
“Dalam kes syarikat kimia petrol yang menghasilkan Co2, mereka memerlukan ruang untuk penyimpanan karbon mereka di suatu tempat di bawah dasar laut; jadi untuk mereka berbuat demikian, mereka kini dikehendaki mendapatkan lesen di bawah Rang Undang-undang Kanun Tanah (Pindaan) 2022,” katanya lagi.
Apa yang mungkin perlu Sarawak lakukan sekarang ialah mengeluarkan lesen untuk memajak ruang. “Buat masa ini, di bawah undang-undang Persekutuan berhubung ruang udara, syarikat perlu memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk menggunakan ruang udara Sarawak atau di bawah laut. Dengan pindaan Kanun Tanah, mereka mesti mendapatkan kelulusan daripada Sarawak terlebih dahulu.
“Kita jangan lupa kanun tanah kita berbeza dengan Tanah Melayu. Dalam kes apa-apa di atas Sarawak atau di bawah tanah, kebenaran perlu diberikan daripada kerajaan Sarawak untuk diberikan kepada syarikat yang berminat,” tambahnya.
Dalam dunia hari ini, perubahan alam sekitar dan iklim merupakan aspek penting dalam kehidupan. Objektif Perjanjian Paris mengenai Perubahan Iklim adalah untuk mengurangkan Pembebasan Rumah Hijau (karbon dioksida). Salah satu caranya ialah dengan menyimpan CO2 yang dikeluarkan dengan menyuntik ke dalam telaga minyak terpakai.
“Beginilah cara kita akan menggunakan kelebihan itu untuk memanfaatkan Sarawak dari segi kewangan dalam menyediakan ruang untuk pengguna menyimpan kredit karbon. Dunia sedang menghasilkan karbon dioksida dan mencari cara untuk menyimpan karbon. Negara maju mampu menangkap karbon dan mencari cara untuk menyimpannya di bahagian dunia dan Sarawak adalah salah satu daripadanya.
“Dunia telah mengakui bahawa rantau ini mempunyai aktiviti seismik yang sangat sedikit dan oleh itu benar-benar layak untuk menyimpan CO2 dan gas lain,” ujarnya.