Sebut sahaja ‘Takoyaki’, pasti terbayang sajian lazat berbentuk berbola yang diperbuat dari adunan tepung dan telur serta berintikan sotong dan dimasak menggunakan kuali takoyaki khas.
Lebih menyelerakan apabila bahagian luar bebola Takoyaki disaluti dengan sos khas yang pekat dan ditambah pula dengan empingan bonito yang lazat dan juga limpahan mayonis yang mampu membangkitkan keenakan rasanya.
Lebih menarik, takoyaki yang mempunyai tekstur ranggup di luar dan lembut di bahagian dalam paling enak dimakan ketika masih panas.
Jadi, tidak hairanlah jika takoyaki yang merupakan sejenis makanan ringan (snek) yang berasal dari Jepun ini menjadi pilihan rakyat tempatan.
Umum mengetahui nama Takoyaki ini adalah berdasarkan perkataan dalam Bahasa Jepun iaitu ‘tako’ yang merujuk kepada sotong dan ‘yaki’ yang bermaksud panggang.
Jika diikutkan nama, isi takoyaki ini sudah semestinya sotong sahaja. Bagaimanapun, di Malaysia, isi takoyaki dipenuhi juga beberapa inti lain termasuk ayam, udang, ketam dan ada juga yang meletakkan inti ikan bilis.
Selain inti, takoyaki di Malaysia dipenuhi dengan kobis, malah ada juga yang meletakkan daun bawang dan juga lobak sebagai tambahan.
Difahamkan, isi takoyaki ini diubah mengikut kesesuaian dan selera rakyat tempatan.
Kini, makanan ringan (takoyaki) ini amat mudah untuk didapati. Kebiasaannya ia ada dijual di pasar raya, di tepi jalan, kawasan pasar malam atau pasar tani.
Boleh dikatakan snek Jepun ini menjadi kegemaran hampir kesemua peringkat umur tidak kira yang muda ataupun yang sudah tua.
Bagaimanapun, harga jualan bagi takoyaki dikatakan agak mahal. Rata-rata penjual menjual 10 biji takoyaki dengan harga RM10.
Malah, ada yang menjualnya dengan harga yang agak tinggi. Bagi keluarga yang besar dan mempunyai anak yang ramai pasti harga terbabit agak membebankan.
Sehubungan itu, salah seorang penggemar takoyaki, Noliza Mohamad,43, mengambil keputusan untuk mempelajari cara masakan takoyaki melalui media sosial.
Ibu kepada tiga anak ini memberitahu, anak-anaknya amat menggemari makanan Jepun ini.
“Oleh itu, saya mula mempelajari dan mencuba resepi-resepi yang ada di dalam media sosial demi memenuhi permintaan anak-anak,” katanya.
Noliza berkata, cara untuk membuat takoyaki ini tidaklah serumit yang disangka.
Katanya, bahan-bahan yang diperlukan juga tidak banyak dan amat mudah untuk didapati.
“Untuk menghasilkan bebola takoyaki, kita hanya memerlukan tepung gandum, tepung jagung, telur, air dan serbuk stok ayam.
“Intinya pula terpulang kepada selera masing-masing sama ada mahu sotong, isi ketam, udang dan sebagainya.
“Sayur-sayuran seperti kobis dan lobak juga boleh ditambah bagi menambah khasiat dalam makanan anak-anak,” ujarnya.
Katanya lagi, acuan takoyaki perlu dipanaskan dan disapu dengan minyak masak di setiap lubang.
“Adunan tepung tadi kemudian dicurahkan ke dalam lubang dalam 3/4 penuh.
“Letakkan inti di setiap lubang. Taburkan daun bawang dan kobis.
“Pusingkan bebola takoyaki sampai dapat bentuk bebola. Teruskan sampai nampak garing dan sedia diangkat.
“Akhir sekali takoyaki disaluti sos takoyaki, mayonis, kemudian ditaburkan dengan rumpai laut (aonori) dan empingan bonito kering (katsuobushi).
“Takoyaki enak dinikmati ketika panas-panas,” katanya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD