Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Taklimat projek mitigasi banjir Kabong: Penyelesaian jangka panjang diperinci 
  • Tengah
  • WILAYAH

Taklimat projek mitigasi banjir Kabong: Penyelesaian jangka panjang diperinci 

Utusan Sarawak 20 hours ago
DATO Mohd Chee Kadir menghadiri sesi taklimat berkenaan cadangan projek mitigasi banjir di Kampung Wawasan, Kampung Baru dan Kampung Alit, Kabong, hari ini. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kabong

KABONG: Usaha menangani banjir tahunan di Kampung Wawasan, Kampung Baru dan Kampung Alit di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong semakin hampir direalisasikan selepas satu taklimat teknikal khas diadakan melibatkan agensi dan pihak perunding berkaitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata taklimat tersebut membentangkan penemuan awal siasatan tapak serta cadangan penyelesaian menyeluruh bagi mengurangkan risiko banjir yang sering berlaku terutama ketika hujan lebat berserta fenomena air pasang besar.

Menurut pembentangan JPS, projek dicadangkan merangkumi kawasan dalam Lembangan Sungai Krian yang dikenal pasti paling kritikal.

Antaranya ialah naik taraf longkang tepi jalan sepanjang 4.4 kilometer (km) di Kampung Wawasan dan Kampung Baru melibatkan pelebaran sehingga lima meter dan kedalaman dua meter, termasuk penggantian 39 lintasan lama dengan pembetung paip 1.2 meter.

Selain itu, pembinaan pembetung baharu di simpang Balai Polis Kabong bagi melancarkan aliran yang kini tersekat. Naik taraf Pintu Kawalan Pasang Surut Sungai Endot daripada satu unit kepada tiga unit bagi mempertingkatkan pelepasan air ke Sungai Krian.

Di Kampung Alit, cadangan termasuk pelebaran longkang sepanjang 10.8 km, penggantian struktur lintasan dengan pembetung 1.2 meter, serta pendua pembetung 1.8 meter di simpang utama Jalan Kabong–Nyabor.

Chee Kadir berkata projek ini merupakan keutamaan kerana ia menawarkan penyelesaian jangka panjang kepada penduduk di kawasan rendah yang hampir setiap tahun berdepan banjir.

“Kita mahu penyelesaian menyeluruh, bukan sementara. Penduduk di kawasan terlibat sudah terlalu lama menanggung risiko banjir, dan projek ini diharap mengubah keadaan,” katanya.

Cadangan teknikal kini dalam proses pemuktamadan sebelum dikemukakan ke peringkat seterusnya untuk kelulusan dan pelaksanaan.

Hadir sama Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Betong, Mazolizam Mohamad, Jurutera Awam Mohd Radzi Zaidi, Pegawai Tadbir Khas ADUN Kabong Nur Elffi Amir, serta wakil perunding projek Ir. Ong Chet Yun

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Projek SK Syed Othman dijangka siap Mei 2026 – Chiew
Next: Bomba Bintangor tangkap ular sawa ceroboh rumah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.