
KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak hari ini menganjurkan satu taklimat penting bertempat di Bilik Mesyuarat Kenyalang, JPJ Sarawak yang menyaksikan penyertaan pelbagai agensi dalam usaha memperkukuh penyelarasan penggunaan sticker Orang Kelainan Upaya (OKU).
Taklimat yang dipengerusikan Ketua Bahagian Kanan Pengurusan dan Korporat JPJ Sarawak, Christopher Alex Boniface Barau memberi fokus kepada isu penyalahgunaan sticker OKU dan kemudahan parkir khas yang dikhaskan untuk golongan OKU.

Sesi ini penting sebagai platform perbincangan rentas agensi yang lebih inklusif dan strategik, termasuk mengetengahkan keperluan penyeragaman sistem, pelaksanaan garis panduan yang jelas dan cadangan pendekatan penguatkuasaan yang lebih tegas bagi menangani penyalahgunaan kemudahan OKU.
Taklimat ini bukan sekadar forum perbincangan tetapi mencerminkan komitmen bersama agensi-agensi terlibat dalam memastikan hak dan keperluan golongan OKU dilindungi sekali gus membuka ruang kerjasama yang lebih erat bagi memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efisien dan mesra OKU.
Oleh Norman B