
SARATOK: Penganjuran Sesi Taklimat dan Penerangan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian dilihat sebagai platform penting untuk memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap hala tuju pembangunan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, program tersebut memberi ruang kepada pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memahami dengan lebih jelas inisiatif pembangunan yang dirancang kerajaan Sarawak.
Menurut beliau, pendekatan turun padang melalui sesi taklimat seperti ini penting bagi memastikan maklumat berkaitan dasar serta perancangan pembangunan dapat disampaikan terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata demikian semasa hadir pada mesyuarat penganjuran Sesi Taklimat dan PCDS 2030 bagi kawasan DUN Krian yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohamad Dino Amid.
Program yang dijadualkan berlangsung 11 April itu merupakan antara pengisian di bawah Siri Jangkauan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak di seluruh kawasan DUN di negeri ini.
Melalui program berkenaan, pelbagai penerangan akan diberikan berkaitan inisiatif, hala tuju serta agenda pembangunan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi pelaksanaan PCDS 2030.

Selain sesi taklimat, beberapa ceramah serta pameran oleh agensi dan jabatan terpilih turut akan diadakan bagi memberi gambaran lebih menyeluruh mengenai pelaksanaan dasar pembangunan negeri.
Pihak penganjur menjangkakan sekitar 500 peserta akan dijemput menghadiri program tersebut yang terdiri daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pemimpin NGO serta pelajar.
Turut hadir dan menyampaikan taklimat pada mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abdul Samad Gany selaku Ketua Penyelaras Program, selain Dato Nyomek Nyeap, Bell Bernard Aggan, Abang Abdul Aziz Abang Draup, Brian Fung, wakil agensi kerajaan serta KMKK.
Oleh Adi Safarman