

BEKENU: Tiga projek pembangunan di Bekenu yang tertangguh dan terhenti pelaksanaannya akan dibincangkan dalam satu sesi taklimat khas pada 17 April ini bagi mencari jalan penyelesaian segera.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, masalah yang melibatkan tiga kontraktor berbeza itu telah menyebabkan kerja pembinaan bagi projek berkenaan terhenti sejak beberapa ketika lalu.
Menurut beliau, kerajaan memandang serius perkara tersebut memandangkan projek terbabit memberi impak besar kepada kemudahan dan kesejahteraan penduduk setempat.
“Kita amat mengambil berat terhadap setiap projek yang dilaksanakan di kawasan ini.
“Sehubungan itu, satu sesi taklimat penting akan diadakan bersama agensi kerajaan berkaitan di Pejabat Daerah Subis pada 17 April ini bagi mengenal pasti punca dan tindakan susulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak semasa program Ziarah Raya di Kampung Bulau, hari ini.
Tiga projek yang terlibat ialah Pembinaan Jambatan Kampung Bulau, Projek Waterfront Bekenu (Kampung Rambai) serta Projek Jalan Rambai-Bulau.
Tambahnya, pada peringkat awal pelaksanaan, projek tersebut mendapat reaksi positif daripada penduduk yang menaruh harapan tinggi terhadap peningkatan infrastruktur di kawasan itu.
“Pembinaan jambatan dan jalan raya ini amat penting dalam memperkukuh jaringan perhubungan serta memudahkan pergerakan penduduk dari satu kawasan ke kawasan lain.
“Justeru, kita mahu memastikan projek ini dapat disiapkan demi manfaat rakyat,” ujarnya.
Tinjauan Utusan Sarawak di tiga lokasi projek yang tergendala itu mendapati tarikh siap bagi Projek Jambatan Kampung Bulau dijadualkan pada 27 Februari 2027, manakala Projek Jalan Rambai-Bulau pada 26 Februari 2028, dan Projek Waterfront Bekenu pula pada 3 April 2026.
Oleh Adum Liu