
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (S1 TK2025) menyusut kepada RM94.54 juta daripada RM102.3 juta yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, syarikat itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata perolehan meningkat kepada RM1.12 bilion daripada RM958.42 juta sebelumnya, didorong oleh hasil takaful yang lebih tinggi.
“Kumpulan merekodkan perolehan takaful sebanyak RM980.6 juta bagi S1 TK2025.
“Pertumbuhan ini terutamanya didorong oleh pelepasan caruman yang lebih tinggi sebanyak RM37.7 juta dan jumlah lebih tinggi yang dicaj bagi perlindungan takaful di bawah Takaful Keluarga sebanyak RM93.2 juta, disumbangkan oleh pertumbuhan dalam perniagaan kredit kumpulan,” katanya.
Katanya, segmen Takaful Keluarga menjana perolehan takaful sebanyak RM608.2 juta pada S1 TK2025, iaitu meningkat 35 peratus berbanding RM449.6 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Peningkatan itu terutamanya disebabkan oleh jumlah yang lebih tinggi yang dikenakan perlindungan takaful iaitu RM93.2 juta dan pelepasan caruman lebih tinggi sebanyak RM44.3 juta.
Mengenai prestasi suku pertama, kumpulan itu berkata ia terus menjadi pengendali takaful pilihan pelanggan, dengan status perintisnya memberi kekuatan kepada jenama itu dan mengesahkan kepercayaan pelanggan terhadap produk serta perkhidmatannya.
Kumpulan itu juga berkata ia akan terus berinovasi dan memperkenalkan produk yang sesuai dengan keperluan pelanggan, iaitu menawarkan kedua-dua nilai serta perlindungan.
Selain itu, katanya, Takaful Malaysia kini sedang memuktamadkan rancangannya mengenai pelancaran produk selanjutnya pada 2025.
“Kumpulan ini kekal teguh dalam komitmennya untuk mengembangkan perniagaannya dan meningkatkan kemampanan kami dan tanggungjawab kepada alam sekitar.
“Pendekatan kami kepada kemampanan adalah holistik, merangkumi tadbir urus yang teguh, penjagaan alam sekitar, tanggungjawab pelaburan dan sumbangan sosial yang bermakna,” katanya.
Justeru, menerusi inisiatif ini, kumpulan menyasarkan untuk mewujudkan kesan positif yang berkekalan, untuk memastikan masa depan yang mampan kepada semua pihak berkepentingan.– Bernama