
BERMULA sebagai usaha menjimatkan kos penternakan ayam dan itik pada 2019 akhirnya membawa Liyana Farhana Noor Izan ke satu perusahaan lain yang lebih menguntungkan, iaitu menternak larva lalat askar hitam (BSFL).
Pengasas ladang lestari Kebun Rahsia berusia 39 tahun itu berkata idea tersebut tercetus ketika beliau tercari-cari kaedah bagi mengurangkan kos makanan ternakan yang tinggi sebelum menemukan potensi BSFL sebagai sumber makanan alternatif.
“Dengan menggunakan BSFL, saya mampu menjimatkan 45 hingga 50 peratus kos makanan ternakan. Lebih jimat lagi jika saya menternaknya sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama di ladangnya di Kamunting baru-baru ini.
Lebih mengujakan, katanya selain penjimatan kos, penggunaan BSFL turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan membantu pelupusan sisa makanan yang menjadi makanan kepada larva tersebut.


PENTERNAK larva lalat askar hitam (BSFL) Liyana Farhana Noor Izan menunjukan BSFL yang diusahakannya di sebuah ladang baru-baru ini. Bermula sebagai usaha bagi menjimatkan kos penternakan ayam dan itik pada 2019 akhirnya membawa beliau ke perusahaan BSFL. Pengasas ladang lestari Kebun Rahsia yang berusia 39 tahun itu berkata idea tersebut tercetus ketika beliau tercari-cari kaedah bagi mengurangkan kos makanan ternakan yang tinggi sebelum menemukan potensi BSFL sebagai sumber makanan alternatif. Foto BERNAMA
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata beliau tidak pernah berasa geli bergelumang dengan ulat setiap hari kerana baginya anak serangga pelbagai fungsi tersebut berperanan sebagai “pembersih alam sekitar” yang bukan sahaja membantu melupuskan sisa makanan dari rumahnya tetapi juga menyelesaikan isu lebihan makanan di rumah jiran serta penduduk sekitar.
Bercerita lanjut, Liyana Farhana yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang pertanian, berkata penternakan BSFL juga menghasilkan baja organik menerusi najis dan kulit larva yang kaya dengan protein dan sangat baik untuk tanah serta tumbuhan.
“Baja ini berfungsi merawat tanah, tumbuhan lebih sihat, tanah lebih subur. Jika diberi kepada haiwan ternakan, saiz ternakan akan lebih besar daripada biasa,” katanya yang merupakan lulusan Diploma Kejuruteraan Kimia (Teknologi Makanan), Universiti Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, beliau berkata tempoh pembiakan BSFL tidak lama, iaitu sekitar dua bulan untuk melengkapkan satu kitaran hidup larva dengan saiz yang sesuai dijadikan makanan ternakan.
Prosesnya bermula dengan telur yang menetas dalam tempoh tiga hingga empat hari sebelum memasuki fasa larva selama dua minggu.
“Seterusnya, larva berubah ke fasa prapupa kemudian pupa (kepompong) selama dua minggu sebelum menjadi lalat dewasa dan kitaran ini akan berterusan,” katanya, menambah ladang beliau mampu menghasilkan 300 hingga 500 kilogram (kg) BSFL setiap bulan.
“BSF ini bukan seperti lalat rumah. Seranggan ini hanya bertelur di tempat bersih dan tidak menyebarkan penyakit. BSFL juga selamat untuk dimakan oleh semua jenis ternakan dan haiwan peliharaan,” jelasnya.
Demi memastikan ilmu berfaedah itu dapat dikongsi bersama-sama dengan orang lain, Liyana mengambil inisiatif menjual kit pemula penternakan BSFL yang ditawarkan pada harga RM150.
“Kit lengkap dengan telur, peralatan asas, video panduan dan sesi bimbingan selama dua bulan, cukup untuk melengkapkan satu kitaran dan menghasilkan 10 kg larva. Fokus saya ialah peserta berskala kecil, pekebun dan penternak rumahan,” ungkapnya yang menyasarkan pembinaan komuniti 1,000 penternak BSF menjelang akhir tahun ini.

Beliau juga menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Kebangsaan Malaysia selain sebagai rakan strategik Majlis Daerah Perak Tengah dalam Projek BSF, iaitu memproses sisa makanan menjadi kompos.
Seorang penternak ikan Abdul Majid Fitri, 34, mengakui BSFL membantunya menjimatkan kos makanan ternakan hingga 70 peratus.
“Saya ternak kira-kira 4,000 ekor ikan keli. Dengan menyulam diet pelet dan BSFL, ikan-ikan membesar lebih cepat. Kalau dulu ambil masa 40 hari untuk mencapai saiz jualan, kini cuma sekitar tiga minggu,” katanya.
Bagaimanapun, cabaran utamanya ialah mendapatkan bekalan sisa makanan yang mencukupi untuk dijadikan makanan larva, dan buat masa ini Abdul Majid mengutip lebihan makanan dari rumah ke rumah termasuk kedai makan, selain turut mengumpul hampas kopi.
Bagi menangani masalah itu, Liyana Farhana menyeru masyarakat dan pengusaha makanan di sekitar Perak untuk menyumbang sisa makanan mereka kepada Kebun Rahsia sebagai usaha menang-menang.
“Saya dapat makanan untuk larva, orang ramai pula tidak perlu pening kepala buang sisa. Kami sediakan perkhidmatan kutipan secara percuma,” katanya yang boleh dihubungi menerusi laman sosial Facebook Liyana Izan dan TikTok kebunrahsia.– Bernama