Tak beraya tanpa mantai?

Facebook
WhatsApp
SEREMBAN, 23 Mei -- MANTAI... Muhammad Farouk Huzi dilihat sibuk melakukan kerja-kerja mengalih tulang lembu untuk dijual kepada orang ramai ketika tinjauan fotoBernama sempena hari mantai menjelang Aidilfitri di Pasar Komuniti Karavan (PAKAR), Paroi, hari ini. Hari mantai amat sinonim dengan masyarakat di Negeri Sembilan khususnya di Seremban, Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin iaitu acara gotong royong menyediakan bahan-bahan mentah seperti kelapa, santan, melapah daging, membakar lemang, memasak juadah seperti rendang dan ketupat sehari sebelum ketibaan Ramadan ataupun Hari Raya Aidilfitri serta Aidiladha. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
MANTAI… Muhammad Farouk Huzi dilihat sibuk melakukan kerja-kerja mengalih tulang lembu untuk dijual kepada orang ramai ketika tinjauan fotoBernama sempena hari mantai menjelang Aidilfitri di Pasar Komuniti Karavan (PAKAR), Paroi, semalam. • Foto BERNAMA

SEREMBAN: Semalam merupakan hari terakhir acara mantai sejak berlangsung Khamis yang menjadi kemestian dan   begitu sinonim dengan adat dan budaya bagi masyarakat Negeri Sembilan sebelum sambutan Aidilfitri, hari ini.

Mantai   menurut   dialek Negeri Sembilan bermaksud membantai, sentiasa meriah disambut sehari sebelum Ramadan dan Syawal melibatkan aktiviti gotong-royong melapah daging, membakar lemang, memasak juadah rendang dan ketupat tidak dapat diadakan tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Susulan pelaksanaan PKPB, kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti rentas negeri untuk pulang berhari raya selain arahan kerajaan negeri agar mantai tidak diadakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Benarkah tidak ‘raya’ sekiranya tiada mantai?

Ahli Jawatankuasa Taman Kobena Senawang, Othman Shaari ketika diajukan persoalan itu berkata, mantai diibaratkan sebagai ‘suntikan semangat’ kepada sambutan Ramadan dan Syawal bagi kebanyakan masyarakat di Negeri Sembilan.

“Raya tetap boleh beraya, cuma tidak `umph’ la jika mantai tidak ada… sebab itu ketika mantai, selain memasak rendang, lemang dan pelbagai lagi, ia sebenarnya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan ini sebabnya orang menjadi sangat seronok.

“Sekarang ini, disebabkan PKPB, maka aktiviti ini adalah terhad dan mungkin dilakukan secara kecil-kecilan di kampung-kampung termasuk ada yang mengambil pesanan tempahan daging. Seperti saya, saya terpaksa menempah daging di Rantau,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, meskipun tiada mantai mahupun kepulangan anak-anak dari perantauan berikutan larangan pulang berhari raya, semangat mantai bagaimana pun katanya tetap perlu disuburkan.

Sementara itu, penduduk Kampung Senama Hilir, Rembau,   Abdul Talib Amat, 80, berkata mantai adalah hari yang cukup istimewa dan kebiasaannya pada hari berkenaan, harga daging dan pelbagai kelengkapan masakan lain yang ditawarkan adalah jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Daging yang dilapah bersama-sama akan dibahagi sama rata mengikut tempahan. Biasa   harga daging mantai ni lebih murah daripada harga   daging di   pasar. Itulah sebab orang lebih gemar membeli daging mantai,” katanya. – BERNAMA

Internet berpagar diperluas ke premis awam, IPTS

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor merancang memperluas perkhidmatan ‘Internet berpagar’ ke premis awam